USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BIAR RENDAH FIZIKAL TAPI JANGAN RENDAH DIRI - IBU SISWAZAH

DSC 0380 800x600

PULAU PINANG, 30 Oktober 2017 – Nasihat ibu menjadi antara kata-kata semangat yang membolehkan siswazah kelainan upaya (OKU) berjaya meraih pencapaian tertinggi bergelar siswazah sempena Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM).

Nor Izzati Saiful Affendi, 23, berkata, ibunya, Umi Kalsum Abdullah, 56, sering mengingatkannya supaya sentiasa tampil positif dan jangan sesekali merasa rendah diri dengan keadaan fizikal yang berbeza dengan orang lain.

"Saya selalu ingat pesan ibu yang katanya biar fizikal kita rendah tapi jangan sesekali rendah diri dalam menuntut ilmu," katanya yang berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Farmasi.

“Saya rasa bersyukur kerana mendapat sokongan sepenuhnya dari ibu dan ayah yang juga OKU,” kata Nor Izzati yang mengidap penyakit tulang Osteogenesis Imperfecta semenjak dari lahir yang mengehadkan pergerakannya.

DSC 0374 800x600

Ibu bapa Nor Izzati yang juga sangat bersemangat dan komited dalam membantu pengajiannya juga adalah dalam kalangan OKU yang mana ibunya juga kerdil dan bapa, Saiful Affendi Abdul Aziz, 56, bisu.

“Saya juga berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi tapi buat masa ini saya ingin bekerja untuk membantu keluarga,” katanya yang hadir konvokesyen ditemani ibu, ayah serta adik yang masih belajar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Beranang, Selangor.

Teks: Siti Najihah Mustafa (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 3579

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024