USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LOKASI YE RAIKAN PENCAPAIAN TAHUNAN PROGRAM PENDIDIKAN KOMUNITI

PULAU PINANG, 14 Oktober 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menjadi lokasi bagi program usahawan muda, dikenali sebagai Program Young Enterprise (YE) yang dihadiri oleh lebih 250 pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang.

Program berteraskan pendidikan komuniti ini adalah di bawah naungan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) dan telah diperkenalkan pada tahun 1989, seterusnya dibawa ke Pulau Pinang pada tahun berikutnya. AMCHAM ialah salah sebuah organisasi bukan kerajaan global terbesar, dengan rangkaian di 123 buah negara di serata dunia.

Menurut Pengarah Penang Science Cluster (PSC), Dato’ Yoon Chon Leong, program ini berperanan membina ‘jambatan’ di antara sekolah dan dunia pekerjaan, yang mana golongan muda boleh memperoleh pengetahuan dan kemahiran serta lebih memahami budaya di tempat kerja.

“Program ini juga menyediakan peluang kepada golongan ‘young achievers’ untuk mendalami ilmu dari pihak industri yang terlibat, yang akan melatih dan memberi tunjuk ajar di dalam pasukan sepanjang tempoh program YE yang dijalankan selama sembilan bulan,” kata Yoon.

Tambahnya, di dalam program YE ini, pelajar akan memulakan industri pengilangan berskala kecil di sekolah mereka. Pasukan yang menjalankan perniagaan dan aktiviti pembangunan produk seterusnya akan menghasilkan dan memasarkan produk mereka.

Dalam tempoh sembilan bulan selepas tertubuhnya syarikat mereka, ahli pasukan yang terlibat akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), mengemukakan laporan syarikat, mengisytiharkan dividen bagi pemegang saham mereka dan seterusnya membubarkan syarikat yang telah ditubuhkan secara sukarela.

Program ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat terlibat untuk memenangi hadiah Piala Cabaran YE, dengan hadiah Syarikat Pengurusan YE Terbaik telah dimenangi oleh Syarikat Fenizza.

Teks: Siti Najihah Mustafa (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 889

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024