USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANAK TUKANG CAT CEMERLANG DAN TERIMA 3 PINGAT EMAS

c y

PULAU PINANG, 27 Oktober 2017 – Seorang anak Tukang Cat, Thong See Wai, 23, cemerlang dalam pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) sekaligus dianugerahkan tiga pingat emas termasuk Hadiah Pingat Emas Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan kepada pelajar tahun akhir yang terbaik dalam segala lapangan.

See Wai, anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95 bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Pendidikan.

“Saya sangat teruja dan bersyukur kerana menerima Hadiah Pingat Emas Canselor ini dan tidak menyangka akan terpilih untuk menerimanya kerana saya hanya belajar untuk mendapatkan PNGK yang tinggi dan bukan untuk mendapatkan sebarang anugerah,” kata See Wai.

“Pelbagai cabaran telah dihadapi dan ini adalah hasil kerja keras saya.  Walaupun terpaksa bekerja untuk menampung pengajian dan mencari pengalaman, saya rasa ini adalah berbaloi untuk saya dan keluarga saya. 

See Wai  yang masih mencari pekerjaan juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarganya terutama kepada ayahnya, Thong King Wah, 55, dan ibunya Low Mun Yin, 57, yang juga masing-masing bekerja sebagai tukang cat dan suri umah dan juga kepada seluruh warga PPIP dan juga rakan-rakan yang lain.

Dua pingat emas lain yang diterima See Wai adalah Hadiah Pingat Emas untuk pelajar wanita tahun akhir yang terbaik dalam segala lapangan yang dihadiahkan oleh Persatuan Wanita USM dan juga Hadiah Pingat Emas untuk pelajar tahun akhir yang terbaik bagi  Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) dihadiahkan oleh Persatuan untuk Memajukan Pelajaran Tinggi di Malaysia untuk memperingati Dr. Thio Chan Bee. 

See Wai adalah antara 6,850 orang graduan yang akan bergraduasi di USM bermula esok sehingga 2 November nanti.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1755

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024