USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ABDUL GHAFFUR TOKOH MAAL HIJRAH 1438H

EAM 0079 800x600

USM, PULAU PINANG, 16 Oktober 2017 – Mantan Timbalan Pengarah Pusat Islam, Abdul Ghaffur Haji Mahmud baru-baru ini dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1438H peringkat Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumbangan beliau dan beberapa kejayaan dikecapinya bersama USM serta aktiviti keagamaan terutamanya aktiviti komuniti dalam pendidikan membolehkan beliau dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah buat kali ini.

“Penghargaan yang diberikan oleh USM merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai bagi diri saya, dan saya amat terharu kerana walaupun sudah bersara, universiti masih menghargai saya,” tambahnya yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun bersama universiti.

Abdul Ghaffur juga pakar dalam bidang fekah, umrah dan haji serta menghasilkan pelbagai penerbitan modul pelaksanaan haji dan umrah serta modul pengurusan jenazah bersepadu manakala di peringkat antarabangsa beliau membuat kajian berkenaan “Communication Of Al Haj Research”.

Beliau yang mendapat pendidikan dalam bidang agama di Madrasah Namabil Ulum, Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Universiti Darul Ulum India, Universiti Al-Azhar, Mesir berkata, setiap ahli akademik perlu memainkan peranan penting dalam membangunkan  nama universiti dalam bidang pendidikan di samping mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat.

EAM 0085 800x600

“Berkhidmatlah dengan penuh keikhlasan demi agama, sebagai staf universiti berusahalah sedaya mungkin dalam apa jua bidang bagi membangunkan menara ilmu tercinta demi kelangsungan ilmu buat generasi mendatang.”

Beliau sebelum ini pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1435H peringkat negeri Pulau Pinang bagi tahun 2013 dan Anugerah Qudratul Rasul kategori kemasyarakatan 1436H peringkat negeri Pulau Pinang.

Ghaffur  menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan, seutas jam tangan beserta trofi yang disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H peringkat USM yang dihadiri oleh lebih 500 warga universiti.

Teks: Siti Najihah Mustafa (pelajar intern MPRC) / Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1418

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024