USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH REDAC DINOBAT SAINTIS MUDA NEGARA 2017

IMG 3564 3 800x600

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2017 - Pensyarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Dr. Foo Keng Yuen, 35, dinobat sebagai Saintis Muda Negara di Majlis Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2017 yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Foo ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas anugerah ini dan mengucapkan terima kasih kepada keluarganya termasuk isteri, anak dan ibu bapa dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan suami, Profesor Dato' Dr. Ahmad Zakaria yang juga Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan yang secara peribadi memberikan galakan dan peluang untuk beliau menjalankan penyelidikan.

22489711 1562967203764307 7947784946988204222 n

"Sejak tahun 2009, saya telah menerbitkan lebih 100 penerbitan dan mencapai H-Index 30 dengan lebih 4,000 sitasi," kata Foo yang berkelulusan Ph.D dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM yang juga pakar dalam bidang pemulihan air dan kesihatan persekitaran.

"Perjalanan karier saya tidaklah mudah kerana saya perlu berulang alik setiap minggu dari Kampus Kejuruteraan di Pulau Pinang ke Kampus Kesihatan di Kelantan atas komitmen saya melaksanakan penyelidikan transdisiplinari dan perkhidmatan sebagai ahli majlis secara serentak di dua pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan pada 2013 sehingga 2015.

Salah satu produk penyelidikan transdisiplinari beliau, Isothermal Amplifications Diagnostics System, hasil kerjasama beliau dengan Institut Penyelidikan dan Perubatan Molekul (INFORMM) USM merupakan paten inovasi baru universiti yang telah memenangi pingat emas di PECIPTA 2017, dan pingat emas merangkap Anugerah inovasi Khas di iMIT SiC 2017 baru-baru ini.

IMG 3540 800x600

Foo membawa pulang wang tunai RM20,000 beserta plak dan sijil.

Pada majlis yang sama, sebanyak enam anugerah lain turut disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sempena AIN 2017 termasuk Anugerah Juruteknologi Negara, AIN Kategori Media Cetak, Kategori Sekolah, Kategori Akar Umbi, Kategori Perkhidmatan dan Kategori Produk.

AIN adalah acara tahunan MOSTI sejak 2005 yang diadakan bagi mengiktiraf usaha-usaha penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh pelbagai peringkat lapisan masyarakat.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor USM.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1801

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024