USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

9 SAINTIS USM DIIKTIRAF “TOP RESEARCH SCIENTIST MALAYSIA”

F2

PULAU PINANG, 25 November – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Asma Haji Ismail adalah antara 9 orang dari universiti ini yang dipilih sebagai sebahagian dari senarai 27 orang Saintis Penyelidik Terkemuka Malaysia (Top Research Scientist Malaysia) yang dikeluarkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

Selain dari Asma, yang turut berada dalam senarai tersebut dari USM ialah Dekan Penyelidikan Pelantar Penyelidikan Kejuruteraan dan Teknologi Profesor Zainal Ariffin Mohd Ishak, Dekan Penyelidikan Pelantar Penyelidikan Sains Fundamental Profesor Abdul Latif Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Profesor Hamidi Abdul Aziz dan Pengarah Pejabat Sains@USM Profesor Abdul Rahman Mohamed.

Turut menerima pengiktirafan yang sama ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Profesor Hanafi Ismail, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul  Profesor Rahmah Noordin, Timbalan Dekan Pusat Kejuruteraan Kimia Profesor Madya Lee Keat Teong dan pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kajihayat Profesor Lee Chow Yang.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Omar Osman melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas pengiktirafan yang diterima oleh para saintis USM tersebut yang menerimanya dari mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis  yang diadakan di Kuala Lumpur.

Profesor Norazmi Mohd Nor dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Profesor Hanafi Ismail turut dilantik sebagai felo ASM.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang menerima pengiktirafan ini dan mengharapkan menjadi dorongan untuk meneruskan kecemerlangan mereka di samping berusaha pula membantu menghasilkan lebih ramai saintis terkemuka dari USM untuk memberikan sumbangan bukan sahaja kepada universiti, tetapi juga negara dan dunia,” kata Omar.

Tambahnya lagi, di samping turut berbangga dengan kejayaan dan pengiktirafan ini, kita mengharapkan agar kepakaran yang ada dapat dimanfaatkan juga oleh masyarakat melalui pelbagai aktiviti libat sama serta menghasilkan inovasi ilmu yang dapat mengetengahkan bakat-bakat besar yang ada di negara kita.

“Saya juga berharap kejayaan dan pengiktirafan besar ini akan turut dirasai oleh seluruh warga Universiti untuk melonjakkan lagi kejayaan USM dan ahli akademik negara pada masa hadapan,” kata Omar.  TEKS: Mohamad bin Abdullah  FOTO: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2838

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024