USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

'MAKERS SPACE' BUKA PELUANG WARGA USM TONJOL BAKAT PENYELIDIKAN

DSC 6879 800x600

BUKIT JALIL, 12 Oktober 2017 - Warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) tidak mengira peringkat jawatan dan pendidikan kini berpeluang menceburi bidang penyelidikan melalui idea-idea kreatif dengan adanya 'Makers Space'.

Ruang tempat dinamakan 'Makers Space' adalah susulan program inisiatif julung kali diadakan di universiti awam iaitu MAKERS@USM yang dilancarkan 10 Mac lalu, bakal mengumpulkan penyelidik dalam kalangan warga kampus pelbagai peringkat.

MAKERS@USM, program di bawah inisiatif Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ini bertujuan mencungkil bakat baru penyelidik yang tidak terhad hanya untuk para pensyarah malah semua peringkat dari pelajar sehinggalah kakitangan pentadbiran.

DSC 6932 800x600

Pengarah Program MAKERS@USM, Profesor Dr. Rosni Abdullah berkata tujuan diadakan program ini adalah mengajak seluruh warga USM yang mempunyai bakat terpendam dalam rekacipta mengetengahkan bakat tersebut bagi tujuan pertandingan mahupun komersil.

"Ruang yang dinamakan 'Makers Space' telah dipersetujui bagi tujuan penempatan para ahli yang berminat bagi bersama-sama menterjemahkan idea kepada keberhasilan produk inovatif," kata Rosni ketika ditemubual pada pameran National Innovation and Creative Economy Expo 2017 (NICE’17) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

DSC 6948 640x480

Tambahnya lagi, dengan adanya 'Makers Space', ia dapat membantu melengkapi dan menambahbaikkan projek yang dibuat melalui kepakaran ahli-ahli terutamanya kalangan pensyarah."Saya amat mengalu-alukan semua warga kampus yang berminat untuk sertai kami kerana tidak mustahil idea kreatif anda dapat kita terjemah dan hasilkan produk yang berinovasi tinggi dan mampu memenuhi kehendak pasaran."

Jelasnya lagi, sejak dilancarkan Mac lalu, kita telah bermula dengan penglibatan pelajar ijazah pertama tahun kedua dan tahun akhir bagi mengetengahkan produk inovasi mereka.

DSC 6889 800x600

Pada tahun ini, MAKERS@USM diberi penghormatan menyertai ekspo NICE’2017 selaras dengan sasaran agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menyemarakkan ekonomi kreatif dan inovasi dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di samping menggalakkan pembangunan ekonomi negara.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024