USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KIT PENGESAN UNTUT DIIKTIRAF REKACIPTA TERBAIK DALAM PECIPTA 2017

 

prof rahmah

KUALA TRENGGANU, 9 Oktober 2017 – Rekacipta emas pertama seumpamanya dihasilkan di dunia, kit pengesan penyakit untut (Lymphatic Filariasis) yang dikenali sebagai Brugia Rapid: A Point-of-Care Test to Detect Brugian Lymphatic Filariasis oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Bukan sekadar meraih emas, inovasi bertujuan membendung penyakit untut di peringkat awal itu turut memenangi Anugerah Khas berdasarkan kredibiliti produk berimpak tinggi yang dipamerkan dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2017.

Ketua Penyelidik, Profesor Dr. Rahmah Noordin berkata, inovasi ciptaannya yang dipertandingkan di bawah kategori Successful Stories telah dikomersialkan di lapan buah negara dan mendatangkan impak kepada ekonomi dengan penjanaan kewangan mencecah RM4.5 juta.

Penyakit untut adalah sejenis penyakit yang digeruni, banyak berlaku di negara-negara tropika yang disebabkan oleh cacing parasit sehingga menyebabkan anggota tubuh manusia menjadi bengkak khususnya kaki.

Katanya, kit berkenaan yang mampu mengesan penyakit untut pada kadar ketepatan tinggi (>95%) dengan hanya menguji sampel darah yang diambil dari jari pesakit turut mendapat pengiktirafan World Health Organization (WHO) dalam Global Programme for Elimination of Lymphatic Filariasis (GPELF).

Tambah beliau, pengesanan awal membolehkan pengamal perubatan membantu pesakit berisiko mendapatkan rawatan awal dan mencegah dari merebak sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pesakit.

all pecipta

Kemenangan berganda tersebut menjadi pelengkap kejayaan USM mempertahankan kecemerlangan meraih pungutan 100 peratus pingat dalam 21 produk penyelidikan yang dipertandingkan.USM unggul dengan enam pingat emas, sembilan perak dan enam gangsa dalam PECIPTA 2017 yang turut disertai lebih 400 produk inovasi dan rekacipta dari universiti awam dan swasta, industri dan agensi penyelidikan tanah air.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1570

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024