USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL DUA ANUGERAH DI KONVENSYEN KIK UA KE-11

El2F95pCeG Sk LjuUJJYAXQo0dLbB0vrk5lLrvxPi46N2SNvnFv05mtgy8GJP2gK3C2RNLqmIpmO509mldGaw

NILAI, 16 April 2015 - Kumpulan Protech Endocrine dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Kumpulan Rehab Inspire dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) masing-masing telah dianugerahkan Inovasi Terbaik (Kategori Pengurusan) dan Persembahan Terbaik (Kategori Teknikal) dalam pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sempena Konvesyen KIK Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-11 yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Dato' Profesor Dr. Asma Binti Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, adalah penting untuk setiap ketua jabatan mengetahui inovasi yang dihasilkan oleh jabatan masing-masing agar ianya dapat digunakan dalam tugasan seharian.

"Kualiti perkhidmatan IPTA juga perlu ditingkatkan secara berterusan bagi memastikan ia berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Budaya kreatif dan inovatif perlu diterapkan sama ada dalam cara berfikir ataupun bertindak sebagai sebuah organisasi," tambahnya lagi.

Konvensyen KIK menyediakan pentas untuk ahli-ahli KIK mengemukakan idea dan melaksanakan reka cipta di jabatan masing-masing. Penemuan ini akan dipertandingkan pula di peringkat pusat. Tujuan pertandingan itu bagi membolehkan setiap penemuan dapat dikongsi dengan agensi kerajaan yang lain. Langkah ini dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Menurut urusetia pasukan USM  Mohd Fahmie Zainal Abidin, persaingan untuk KIK kali ini amat sengit dengan banyak inovasi baru berkualiti yang dibawa oleh IPTA yang bertanding.

"Adalah menjadi harapan kami agar Kumpulan KIK USM dapat melahirkan inovasi baru yang berimpak tinggi dan juga melahirkan juara-juara di peringkat IPT, kebangsaan dan antarabangsa dengan usaha padu  bagi memastikan inovasi baru dicipta selaras dengan konsep KIK bagi menyelesaikan masalah di tempat kerja seperti penganjuran bengkel KIK yang melibatkan penyertaan peserta dari kesemua kampus di USM," tambahnya lagi.

Dua lagi pasukan dari USM yang turut menyertai Pertandingan KIK ini ialah Kumpulan G-SMART juga dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan kumpulan i-10 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

Untuk rekod, kumpulan KIK USM pernah dinobatkan johan keseluruhan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-10 yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tahun lalu yang diwakili oleh Kumpulan Evo Rehab menerusi ciptaan alat senaman mereka, Lolimex. - Teks & Foto: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1667

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024