USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GLAUKOMA MENGANCAM PENGLIHATAN

IMG 6138

KOTA BHARU KELANTAN, 16 April 2015 – Menyedari hakikat masyarakat umumnya tidak menyedari glaukoma yang menjadi pembunuh senyap penglihatan, Jabatan Oftalmologi Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Kejururawatan Hospital USM mengadakan pemeriksaan mata secara percuma kepada masyarakat setempat untuk menyampaikan maklumat berhubung penyakit sempena sambutan ‘Minggu Glaukoma Sedunia 2015’ bertempat di Ruang Legar Pusat Membeli-belah KB Mall, Kota Bharu.

IMG 6127

Menurut Ketua Jabatan Oftalmologi, Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajudin, pameran ini diadakan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat tentang penyakit glaukoma agar mereka berwaspada kerana individu berumur 40 tahun ke atas berisiko mendapat penyakit tersebut.

Jelas Liza Sharmin, ramai yang tidak tahu apa sebenarnya penyakit tersebut yang menjadi antara penyebab utama masalah kebutaan di seluruh dunia tanpa disedari oleh pesakit.

Glaukoma ialah sejenis penyakit mata yang membawa kepada kerosakan saraf optik. Saraf optik yang sihat adalah penting untuk transmisi maklumat dari mata ke bahagian otak. Glaukoma boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan secara beransur-ansur yang akhirnya membawa kepada kebutaan kekal.

IMG 6131

IMG 6146

Walaupun masalah glaukoma tersebar luas, namun masyarakat tidak menyedarinya dengan banyak tanggapan yang salah tentang gejala serta golongan yang menghidapnya.

World Glaucoma Day (WGD) atau Hari Glaukoma Sedunia dideklarasikan pada 6 Mac 2008 dan disambut pada setiap hari Khamis minggu kedua.

“Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang beranggapan apabila mengalami kekaburan itu akibat faktor usia sedangkan mereka berkemungkinan mengidap glaukoma kerana dalam kebanyakan kes, hanya sedikit atau mungkin tidak ada langsung gejala yang dikesan yang jika tidak dirawat di peringkat awal, pesakit akan mengalami kebutaan kekal,” tambah Liza Sharmini.

IMG 6135

Mereka yang membuat pemeriksaan mata sepanjang pameran ini diberikan tarikh temujanji untuk rawatan susulan jika berisiko atau didapati mengidap penyakit glaukoma untuk membantu masyarakat lebih peka dalam menjaga kesihatan mata.

"Glaukoma boleh menjejaskan sesiapa sahaja dan sudah tiba masanya untuk mendidik diri serta keluarga tentang risiko yang ada," kata Liza Sharmini. - Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1012

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024