USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LEADING THINKERS@USM KONGSI PENGALAMAN DENGAN JKPU

 DSC5544

PETALING JAYA, 15 April 2015 - Leading Thinkers yang terdiri daripada enam orang pakar dan ahli perniagaan dari dalam dan luar negara berkongsi pengalaman dan kepakaran bersama dengan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini di sini.

“Program ini bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah terbaik bagi memastikan USM terus relevan pada masa hadapan dan dalam konteks  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) [PPPM (PT)] ianya selari dengan 10 lonjakan yang disenaraikan,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

 DSC5559

 DSC5564

“Mereka ini adalah ikon yang terkenal dalam membuat perubahan atau transformasi dalam pelbagai bidang termasuk teknologi maklumat, telekomunikasi, automatif dan juga pelaburan,” tambah Naib Canselor ketika ditemui selepas sesi pertama perkongsian pengalaman yang dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Gabenor USM, Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Arif.

Antara Leading Thinkers yang hadir ialah Tony Lee, Dato’ William Toh, Chin Chun Yean, Goh Peng Ooi, CK Chang dan juga alumni USM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ItraMAS Corporation Sdn Bhd, Lee Choo Boo.

Pada sesi kedua, kesemua JKPU dipecahkan mengikut kepakaran dan bidang masing-masing bagi perbincangan lanjut bersama setiap seorang tokoh industri seperti bidang kewangan, bakat, penjenamaan dan juga Alumni.

 DSC5581

“Melalui perbincangan dan juga sesi perkongsian ini pelbagai perkara dapat disimpulkan dan diberikan perhatian sebaik-baiknya seperti cara untuk integrasikan Universiti serta semakan semula visi dan misi Universiti supaya ianya lebih dekat di hati setiap warga USM,” ujar Tengku Mahaleel yang turut membentangkan cabaran Universiti mendepani dunia pada masa akan datang.

Sementara itu, Choo Boo, Ketua Pegawai Eksekutif ItraMAS Corporation Sdn Bhd, ketika ditemui berkata, USM perlu mengenalpasti inovasi-inovasi yang mempunyai impak besar dan memberi sepenuh tumpuan untuk melonjakkan inovasi tersebut ke tahap yang tertinggi.

Apabila ditanya tentang peranan alumni pula, Choo Boo, yang juga graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) USM tahun 1995, berkata alumni memainkan peranan yang sangat penting sebagai pencetus dan penyumbang idea yang dapat membantu universiti untuk terus relevan kepada masyarakat luar baik dalam bidang pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan inovasi mahupun dalam libatsama universiti-industri-komuniti.

“Pihak universiti perlu membanyakkan program-program yang dapat melibatsamakan alumni sekaligus menjadikan alumni USM sebagai duta (ambassador) universiti lebih-lebih lagi apabila mereka didapati di merata dunia menceburi bidang kerjaya yang berlainan,” tambah beliau.

  • Created on .
  • Hits: 1103

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024