USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMINAR KOMUNITI ASEAN BANTU TINGKAT KESEDARAN AWAM

IMG 0025fgh
 
PULAU PINANG, 15 Apr 2015 – Seminar Komuniti ASEAN disifatkan sebagai platform terbaik dalam memberi kesedaran umum mengenai pelaksanaan Komuniti ASEAN dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015.
 
Wakil Timbalan Menteri luar merangkap Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Dato’ Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, kesedaran masyarakat di negara ini berhubung komuniti ASEAN masih rendah.
IMG 0031dfh
 
Katanya, perkara itu perlu ditangani dengan lebih serius untuk memastikan masyarakat di negara ini peka dengan segala perkembangan isu semasa, bukan hanya dalam negara sebaliknya di peringkat serantau dan global.
 
``Pelbagai usaha telah dibuat bagi menghebahkan aspirasi pembentukan komuniti ASEAN dan penganjuran seminar seumpama ini adalah amat signifikan untuk memperluas saluran informasi untuk masyarakat,’’ katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Seminar Komuniti ASEAN anjuran Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dengan kerjasama Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang (YKNPP) dan Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.
IMG 0014dfh
 
Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil Naib Canselor, Profesor Dato Seri Dr. Md Salleh Yaapar, Ahli Lembaga Pengarah YKNPP, Dr. GP Doraisamy dan Pengarah CGSS merangkap Pengerusi Seminar, Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim.
 
Muhammad Shahrul Ikram juga berkata, selaku Pengerusi ASEAN 2015, Malaysia menjadi tumpuan dunia dan masyarakat antarabangsa ingin melihat kemampuan negara memacu ASEAN ke arah penubuhan Komuniti ASEAN penghujung tahun ini.
 
Katanya, bagi mencapai matlamat itu dua fokus telah ditetapkan iaitu memuktamadkan  Pelan Hala Tuju Komuniti ASEAN 2009-2015 serta membangun dan memuktamadkan Visi Komuniti ASEAN Pasca 2015.
IMG 0027fdh
 
``Melalui fokus tersebut, kerajaan telah mengenalpasti lapan keutamaan yang perlu diketengahkan oleh Malaysia semasa menjadi Pengerusi, termasuk berusaha untuk mendekatkan ASEAN kepada rakyat.
 
``Selain itu negara perlu memperkukuh pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, memperluas perdagangan dan pelaburan, mengukuhkan institusi, menggalakkan keamanan serta meningkatkan peranan ASEAN sebagai pemain global,’’ katanya.
 
Md Salleh dalam ucapannya pula berkata, penganjuran seminar itu bertepatan dengan visi USM iaitu “Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok”.
 
Katanya, ia juga  selaras dengan keperluan umum pembangunan lestari di peringkat global yang mengintegrasikan elemen ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
``Dalam konteks institusi pendidikan tinggi, ianya perlu dimanifestasikan dalam pembelajaran, penyelidikan dan libatsama komuniti, sekaligus menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti ASEAN yang dicita-citakan,’’ katanya.
 
Dalam pada itu, Komuniti ASEAN menjurus ke arah pembabitan atau penyertaan warga ASEAN dalam usaha mengintegrasi komuniti ASEAN untuk menjadi lebih kukuh.
 
Dalam usaha ini, komuniti ASEAN dilihat tidak lagi menjadi medan kumpulan elit dan pakar semata-mata, sebaliknya akan muncul sebagai komuniti berteraskan warga dengan menjadikan 'Sebuah ASEAN Untuk Semua'. 
 
Sehubungan dengan itu, rakyat negara ASEAN terutamanya Malaysia wajar memahami konsep Komuniti ASEAN ini bagi memastikan matlamat merapatkan hubungan mesra antara negara anggota pertubuhan itu dapat dicapai dengan berkesan. Teks : Marziana Mohamed Alias / Foto : Mohd Fairus Md isa
  • Created on .
  • Hits: 1972

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024