USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DESASISWA RESTU JUARA PESTA PANTUN 2015

Padu 7661

NIBONG TEBAL, April 2015 - Pasukan pantun Desasiswa Restu bergelar juara setelah berjaya menewaskan Desasiswa Nurani pada Pertandingan Pantun Antara Desasiswa (PADU) 2015 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Desasiswa Restu memperolehi kemenangan tersebut setelah melalui lima peringkat saringan yang melibatkan 12 pasukan yang terdiri daripada Desasiswa Aman Damai, Bakti Permai, Cahaya Gemilang, Fajar Harapan, Indah Kembara, Jaya, Lembaran, Murni, Nurani, Tekun dan Saujana. Pertandingan itu merupakan acara tradisi universiti dan pada kali ini Desasiswa Lembaran merupakan penganjur pertandingan yang turut mendapat penajaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Padu 7675

Menurut Pengarah Projek, Wan Mohamad Hafiz Mohd Ghazali, 22, pemantun terdiri daripada 5 pelajar dalam satu kumpulan dipimpin oleh seorang pengurus dan pertandingan dilaksanakan mengikut sistem yang ditetapkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM).

“Pertandingan akhir kali ini agak sengit dimana Desasiswa Nurani dari Kampus Kesihatan dan Desasiswa Restu dari Kampus Induk bertemu pada hari ini di Kampus Kejuruteraan”, kata Hafiz ketika ditemui sebelum pertandingan bermula.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Prof. Dr. Adnan Hussein. Beliau dalam ucapan perasmian penutup menyatakan rasa kesyukuran kerana pihak penganjur dapat melaksanakan Pertandingan Pantun Antara Desasiswa (PADU) 2015 dengan begitu baik sekali.

Padu 7651

Katanya, "semangat kerjasama melalui program seperti ini bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang berkepimpinan malahan pelajar dapat mengingati budaya seterusnya menghargai ketinggian budaya Melayu itu sendiri".

“Universiti amat menyokong dan berusaha menggiatkan lagi program seperti pesta pantun yang dianjurkan saban tahun di USM supaya budaya warisan Melayu ini terus kekal di hati kita”, ujar Adnan yang turut merasmikan program dengan tiga kali pukulan gong.

Beliau turut menegaskan supaya semua mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dapat memperjuangkan pantun sebagai warisan dan terus mengembangkannya kepada seluruh masyarakat supaya ia tidak lapuk dimamah usia.

Sementara itu, Ketua Hakim merangkap Hakim Isi Pertama, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Salleh, mewakili empat hakim lain berkata untuk menjadi pemantun yang baik seseorang itu perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara termasuk isi pantun yang mudah difahami dan setiap pantun perlu logik serta mempunyai nilai walaupun disampaikan dalam jenaka.

Padu 7745

Menjawab solan penulis mengenai kualiti pemantun, beliau berpuas hati dan gembira kerana para pemantun cekap dan dapat berpantun dengan begitu baik sekali.

“Mereka bukan sahaja dapat membalas pantun dengan tepat dan dalam tempoh yang telah ditetapkan malahan kebanyakan pra syarat dalam berpantun mereka patuhi”, katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Halim R.

Tegas Halim, pantun tetap kekal seperti kata Hang Tuah “Takkan Melayu Hilang di Dunia”. Menurut beliau lagi, selagi ada orang Melayu dibumi ini maka pantun pasti tidak akan luput malah dipelihara dengan begitu baik sekali sekiranya warisan itu dijaga dan diiktiraf oleh orang Melayu sendiri.

Salah seorang wakil pelajar yang ditemui, Mohammad Adib Izzuddin Ahmad Zahrol, 22, pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa turut bersetuju dengan pandangan Dato’ Halim R.

“Bagi saya, pesta pantun seperti ini sangat relevan dilaksanakan diperingkat universiti supaya budaya Melayu tidak hilang begitu sahaja kerana pada masa sekrang kebanyakan mahasiswa terlalu terikut-ikut dengan budaya barat yang begitu mudah menular dalam kalangan pelajar,” kata Adib yang juga merupakan Jawatankuasa Protokol Majlis tersebut.

Padu 7747

Kata Adib, “setidak-tidaknya pesta yang kita adakan ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang budaya Melayu yang menampilkan pakaian tradisional, percakapan dan adab santun masyarakat kita.”

Dalam pertandingan itu, Desasiswa Restu selaku johan keseluruhan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, piala pusingan dan sijil. Kemenangan yang disambut dengan sorakan dan tangisan itu lebih manis apabila Abdullah Mahyuddin selaku ketua kumpulan diumumkan sebagai penerima anugerah pemantun terbaik peringkat saringan sekaligus sebagai pemantun terbaik peringkat akhir.

Turut hadir pada majlis penutup pertandingan akhir Pesta Pantun Antara Desasiswa (PADU) 2015 yang berlangsung di Dewan Pusat Mahasiswa (PUMA), Kampus Kejuruteraan ialah Pengarah Pembangunan Siswa, Dr. Nazarudin Zainun, Pengarah, Pembangunan Pelajar (BHEPP), penggawa-penggawa desasiswa, pensyarah dan staf.

Kira-kira 400 pelajar dari ketiga-tiga kampus hadir memenuhi ruang dewan sebagai penonton bagi memberi sokongan dan menyaksikan kehangatan pasukan yang bertanding pada pertandingan akhir tersebut. - Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli

  • Created on .
  • Hits: 1683

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024