USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CIP-KPS PLATFORM EFEKTIF MEMBENTUK GENERASI PENGGUNA MUDA YANG BIJAK

USM, PULAU PINANG, 27 Julai 2017 – Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) adalah program berkonsepkan ‘explorace’ yang dilaksanakan mulai tahun 2011.

Ia merupakan platform pembelajaran interaktif yang efektif dalam usaha membentuk generasi pengguna muda yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar sekolah.

Tahun ini, (CIP-KPS) peringkat kebangsaan telah memilih Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai lokasi acara mereka yang berlangsung selama 3 hari berturut-turut dari 25 – 27 Julai 2017.

Seramai 64 peserta menyertai program ini merangkumi pelajar tingkatan 1 hingga 5 yang terpilih daripada 16 buah sekolah menengah dari setiap negeri di seluruh Malaysia. Objektif program ini adalah untuk meluaskan kemahiran, kreativiti, inovasi dan kemampuan diri pelajar.

Program ini mempunyai 10 ‘checkpoint’ yang berasaskan 5 modul berkaitan kesihatan diri dan alam sekitar yang meliputi aspek fizikal dan mental. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah untuk menguji minda pelajar-pelajar berkaitan dengan apa yang telah dipelajari oleh mereka.

Majlis penutup program ini telah diadakan pada 27 Julai bertujuan untuk meraikan kemenangan sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan ini.

Juara keseluruhan pertandingan ini ialah SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kedah yang turut meraih Anugerah Khas Pengguna Bijak dan membawa pulang cek bernilai RM 5,000. Tempat kedua pula dimenangi oleh SM Sains Labuan, WP Labuan dengan cek bernilai RM3,000 manakala SMK Seri Pekan, Pahang mendapat tempat ketiga beserta cek bernilai RM 2,000.

Turut hadir menyokong program ini ialah YB Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato' Henry Sum Agong; Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNKK, Dato’ Razali Othman; dan Pengarah Pejabat Aset dan Operasi Universiti Hj Abd Hadi Ahmad mewakili Naib Canselor USM.

Teks: Nur Fariha Mohd Fariz (Pelajar intern MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 1994

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024