USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ELAK PEMBAZIRAN PUPUK BUDAYA MERANCANG

IMG 3772

USM, PULAU PINANG, 18 Jun 2017 – Warga kampus diingatkan supaya meninggalkan amalan pembaziran sama ada ia melibatkan masa, wang dengan berbelanja mewah, makanan, tenaga elektrik, air, kertas dan sebagainya.

Itu antara nasihat yang dikongsikan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas baru-baru ini.

IMG 3803

Tambahnya, amalan pembaziran jika berjaya dibendung bukan sekadar dapat melipatgandakan pahala, malah dapat mendidik seseorang individu merancang perbelanjaan secara bijak dan berhemah.

Beliau turut menyokong usaha Pusat Islam USM yang telah mengambil inisiatif melancarkan “Kempen Katakan Tidak Pada Pembaziran” pada awal Ramadhan ini.

Mengulas acara tahunan yang menjadi kelaziman pada setiap kali Ramadhan itu, beliau berkata, setiap hari sukarelawan masjid akan memasak makanan berbuka puasa untuk lebih 2,000 orang.

“Amalan ini adalah hasil kerjasama dan sumbangan dari seluruh warga kampus dan juga dermawan-dermawan di luar kampus. 

“Sememangnya usaha murni sebegini perlu dipupuk bagi menimbulkan perasaan kasih sayang dan semangat kesukarelawanan serta bekerjasama dalam kalangan warga kampus,” ujarnya lagi.

IMG 3842

IMG 3849

IMG 4011

Dalam majlis yang sama, usahawan kurma Dato’ Seri Yusuf Taiyoob turut menyumbang biasiswa sebanyak RM400,000 kepada 10 pelajar USM yang kurang berkemampuan.

Ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Masjid Al-Malik Khalid di sini, Yusuf berkata, tajaan itu secara tidak langsung membolehkan setiap pelajar berkenaan menerima biasiswa sebanyak RM40,000 untuk mengikuti pengajian penuh masa dalam bidang masing-masing selama empat tahun di USM.

“Bantuan ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menyambung pelajaran ke menara ilmu, sekaligus meringankan beban tanggungan ibu bapa berpendapatan rendah yang menghadapi masalah kewangan membiayai pengajian anak mereka,” katanya, yang merupakan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd., syarikat pengedar kurma terkemuka di dunia.

IMG 3965

masjid 2

IMG 3950

Selain Yusuf, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Timbalan-timbalan Naib Canselor turut mengambil peluang di bulan yang mulia ini menyampaikan sumbangan wang zakat kepada 10 asnaf dalam kalangan para pelajar USM.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff; Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato' Dr. Jegathesan Manikavasagam dan isteri; pegawai-pegawai utama Universiti; kariah masjid terdekat dan sebagainya.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1850

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024