USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAMADHAN MEMBENTUK PERIBADI CEMERLANG

Iftar Perdana 001

BERTAM, 14 Jun 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menganjurkan Majlis Iftar Perdana 2017 bersempena bulan Ramadan 1438H bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara warga IPPT dan pengurusan tertinggi universiti.

Majlis tahun ini yang bertemakan “Ramadhan Membentuk Peribadi Cemerlang” diadakan di Kompleks Penyelidikan Klinikal di sini semalam dihadiri lebih 300 tetamu terdiri daripada warga kerja IPPT bersama ahli keluarga serta pegawai utama universiti termasuk Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Menurut Asma, program seperti ini merupakan satu aspek tambah nilai bagi universiti kerana ianya bukan sahaja dapat merapatkan silaturrahim sesama warga kerja, malah kesempatan ini turut memberi peluang kepada universiti untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya anak-anak yatim serta insan yang kurang bernasib baik.

Iftar Perdana 002

“Saya berharap sumbangan kita kepada masyarakat tidak terhenti di sini sahaja dan saya ingin menyeru warga IPPT supaya teruskanlah berbakti dengan memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik kepada semua ahli masyarakat. Semoga dengan cara ini masyarakat setempat akan lebih mengenali kita dan yang paling penting masyarakat terkesan dengan kehadiran IPPT di Bertam ini,” tambahnya lagi.

Pada majlis tersebut, IPPT telah menghulurkan sumbangan duit raya serta hamper makanan kepada 50 orang anak yatim dan asnaf yang terdiri daripada penduduk sekitar Bertam. Sumbangan ini disampaikan oleh Naib Canselor.

Menerusi sumbangan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat memberikan keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Iftar Perdana 00

IPPT juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti bersempena bulan Ramadan ini di bawah payung Program Ihya Ramadhan. Antaranya adalah Program Ziarah Amal Ramadhan, Program Bicara Ilmu, Majlis Ilmu “Fikrah Ramadhan” dan “Pesona Muslimah” serta aktiviti gotong royong bagi penyediaan juadah berbuka.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pendaftar USM, Profesor Dato' Dr. Abd. Aziz Tajuddin; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar dan Pengarah Pusat Islam USM Profesor Madya Dr. Sofri Yahya.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1461

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024