USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOMUNITI FELDA DIDIDIK URUS SISA SECARA BERHEMAH

Pelancaran pusat kitar semula bersama pihak FELDAUSM dan Globalcycle

PULAU PINANG, 13 April 2015 - Sekumpulan 22 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menterjemahkan konsep kelestarian dengan memberi pendedahan kepada penduduk Felda Guar Napai, Kedah menguruskan sisa pepejal dengan betul, bukan melalui pembakaran terbuka.

Pengarah Projek, Nadthikphorn Kamphol berkata, beliau bersama rakan-rakan dari program Akuatik dan Persekitaran (AQEN), Pusat Pengajian Sains Kajihayat ke Felda berkenaan bagi memberi pendedahan mengenai bahaya pembakaran terbuka baik kepada manusia mahu pun alam sekitar.

Bersama murid murid3

Katanya, walaupun penempatan tersebut telah dibuka pada 1984, sebilangan besar penduduk Felda Guar Napai melupuskan sisa pepejal dan sampah sarap dengan melakukan pembakaran secara terbuka.

“Dari perbualan dengan penduduk kampung, kita mendapati bahawa komuniti di sana tidak mempunyai fasiliti pelupusan sampah dan tidak pernah menikmati kutipan sisa pepejal secara berkala seperti di bandar.

“Daun-daun kering akan dibakar sementara sisa pepejal lain dihantar ke kawasan di belakang Sekolah Rendah Guar Napai untuk dilupuskan, itu pun masih dengan cara pembakaran terbuka yang menyebabkan pencemaran alam sekitar khususnya udara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Program Kesedaran Bersama Komuniti tentang Bahaya Pembakaran Terbuka di Felda tersebut baru-baru ini.

Mengecat bahagian depan

Tambahnya, dengan moto ‘3R Bikin Untung, Sampah Sikit, Kita Tak Sakit’, peserta turut berinteraksi bersama 53 murid-murid berumur di antara 10 hingga 12 tahun dan memberi pendedahan supaya tidak mengamalkan amalan tersebut yang mengundang pelbagai perkara negatif.

Tambahnya, sebuah pusat pengumpulan barangan kitar semula turut dibuka untuk menyenangkan usaha mengurangkan sisa pepejal, di samping mendidik komuniti di situ untuk melaksanakan cara yang betul dan berhemah untuk kepentingan generasi hari ini dan masa hadapan.

Wakil daripada Globalcycle Sdn. Bhd., Tom Lim yang turut hadir pada upacara pembukaan pusat tersebut menzahirkan hasrat untuk terus berkunjung ke Felda Guar Napai setiap bulan bagi mengumpul barangan kitar semula.

Beliau menegaskan, wang yang diperoleh hasil penjualan barangan tersebut kemudian akan disalurkan kembali kepada komuniti di situ untuk tujuan kebajikan dan aktiviti penduduk.

Pelajar program AQEN USM

Dalam pada itu, pensyarah kursus Pengurusan Persekitaran PPSK, Dr. Khairun Yahya pula berkata, program berunsurkan jaringan universiti-komuniti itu diharap dapat memberi galakan kepada para pelajar untuk menangani isu semasa berbekalkan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik kuliah.

“Projek ini julung kali diperkenalkan dan ia berjaya mencapai matlamat untuk mendidik komuniti ke arah kehidupan lebih baik. Usaha ini wajar dicontohi oleh para pelajar akan datang,’’ ujar beliau. - Teks: Marziana Mohamed Alias  

  • Created on .
  • Hits: 1572

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024