USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR SERU WARGA KAMPUS JADI KHAIRA UMMAH

USM, KUBANG KERIAN, 11 Jun 2017 - "Ramadhan ialah bulan yang mana Allah menyediakan peluang yang seluas-luasnya untuk umat Islam menjadi insan yang bertakwa iaitu insan yang terbaik atau khaira ummah," demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Menurutnya, sempena bulan Ramadan yang penuh berkat ini, seluruh warga kampus USM diseru untuk melakukan perubahan paradigma dalam diri dan menjadi insan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan sama ada pengurusan diri, keluarga, organisasi mahupun pentadbiran dengan berusaha meningkatkan ibadah dan amalan baik sebanyak mungkin, serta menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara keji dan tidak berfaedah.

"Dalam konteks warga universiti, kita seharusnya memiliki nilai-nilai murni seperti tekun bekerja, tekun menuntut ilmu, mementingkan kualiti output, berdaya tahan, berdisiplin, menepati masa, ikhlas, berintegriti, bekerjasama, prihatin, kasih sayang, semangat sukarelawan, sedia berkorban dan lain-lain lagi.

"Nilai-nilai murni ini adalah selari dengan tarbiah Ramadan dan Rukun Nilai USM yang perlu dimiliki dan dihayati oleh semua warga USM untuk memacu kecemerlangan universiti," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Pengarah Kampus dengan kerjasama Pusat Islam di Masjid Mukim Kampus Kesihatan, di sini.

Tambah Asma, di bulan yang mulia ini, marilah kita buang perasaan hasad dengki dan suka membandingkan orang lain dengan kesedaran bahawa USM merupakan sebuah universiti APEX yang mempunyai Rukun Nilai USM bagi mengurangkan kes tatatertib dalam kalangan warga kampus dan pelajar berbanding pada tahun lalu.

"Ramadan ini juga menuntut kita untuk tolong-menolong dan membantu sesama Islam, lebih-lebih lagi golongan yang kurang berkemampuan atau kurang bernasib baik, dengan menyumbangkan derma, sedekah, zakat, makanan berbuka puasa, makanan bersahur, tenaga sukarelawan dan lain-lain kerana amat besar ganjaran dan kesannya.

Asma berkata, di saat kita menunaikan ibadah di bulan Ramadhan dan akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, janganlah kita lupa kepada warga kampus yang terlebih dahulu kembali kepada Allah SWT.

“Pada tahun lalu, seramai tujuh orang warga Kampus Kesihatan telah kembali ke Rahmatullah iaitu enam staf dan seorang pelajar manakala pada tahun ini seramai tiga orang iaitu seorang staf dan dua pelajar siswazah serta agak ramai juga dalam kalangan staf yang kehilangan ahli keluarga terdekat.

"Penganjuran majlis pada hari ini sangat bermakna kepada universiti dan warga kampus kerana ianya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pihak pengurusan tertinggi universiti, warga Kampus Kesihatan iaitu pelajar dan staf daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) serta ahli kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan," katanya.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan Mauritius, Dr. The Hon Mohammad Anwar Husnoo; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Pendaftar USM, Profesor Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin; Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya; Pemangku Ketua Pustakawan, Engku Razifah Engku Chik serta dekan-dekan pusat pengajian.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1112

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024