USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM SALAM SAHUR DEKATKAN PELAJAR DENGAN MASYARAKAT

SAHUR 1

PULAU PINANG, 5 Jun 2017 - Program Salam Sahur 2017 Universiti Sains Malaysia (USM) seperti tahun-tahun sudah pada bulan Ramadhan, membuka peluang kepada sukarelawan pelajar dan staf bersama-sama menzahirkan semangat kesukarelawanan membantu golongan gelandangan yang memerlukan perhatian masyarakat.

Seramai 120 sukarelawan USM di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dan hampir 40 orang staf USM mengedarkan 600 bungkusan juadah sahur kepada golongan gelandangan dan kakitangan awam yang bertugas pada waktu malam di sekitar bandar raya Georgetown, di sini, baru-baru ini.

IMG 3121

IMG 3132

Juadah sahur itu diedarkan kepada gelandangan yang berada di Masjid Kapitan Keling, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dan petugas di Unit Kecemasan Hospital Besar Pulau Pinang serta anggota polis dan bomba yang menjaga keharmonian dan keamanan negara.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang turut menyertai program ini berkata, program Salam Sahur itu adalah acara tahunan yang diusahakan oleh Sekretariat Sukarelawan USM bagi menunjukkan keprihatinan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan penghargaan kepada kakitangan awam dari agensi-agensi kerajaan yang bertugas pada waktu malam.

“Program ini yang telah masuk tahun keempat penganjurannya dilihat mampu memberi impak positif khususnya kepada para sukarelawan kerana mereka bukan sahaja berpeluang mendekati golongan gelandangan tetapi juga berpeluang terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan sahur termasuklah memasak dan membungkus makanan dengan kerjasama daripada Pusat Islam USM.

IMG 3147

IMG 3144

IMG 3150

Tambah Asma lagi, program ini diharapkan dapat memberi pembelajaran ‘experiential’ kepada sukarelawan pelajar terutamanya mereka yang mengambil bahagian buat pertama kalinya, berkenaan dengan realiti kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik di luar sana dan berfikir bagaimana kita dapat membantu mereka.

“USM memang komited untuk meneruskan program ini bagi tahun-tahun akan datang memandangkan impak positifnya kepada warga kampus dan juga masyarakat sekeliling, dan saya berharap lebih ramai lagi sukarelawan pelajar yang akan menyertainya,” jelasnya.

IMG 3169

18835951 1844434489211657 9032726137456207891 n

18766006 1844433099211796 2896282505358948354 n

18740275 1844433035878469 5438317937749397794 n

Yang turut sama dalam program ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan isteri; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Penasihat Undang-undang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi dan beberapa orang pegawai utama universiti.

 

  • Created on .
  • Hits: 1405

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024