USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANTARA LIMA UNIVERSITI AWAM TERBAIK ANUGERAH KELESTARIAN KAMPUS HIJAU 2017

IMG 7067

SERDANG, SELANGOR, 25 Mei 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersama empat lagi Universiti Awam (UA) Malaysia telah terpilih menerima Anugerah Kelestarian Kampus Hijau 2017 bersempena dengan Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau 2017 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini kelmarin.

Hadir menerima anugerah dan wang tunai RM20,000 bagi pihak USM ialah Pengarah Pusat Pendidikan Dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga Dan Teknologi Hijau (CETREE), Prof. Madya Dr. Mohd Wira Bin Mohd Shafiei.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam majlis perasmian konvensyen tersebut.

IMG 7066

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada Universiti Awam yang mengamalkan inisiatif kelestarian di dalam kampus iaitu pembudayaan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle), sistem pengangkutan mesra alam, penjimatan penggunaan tenaga dan air serta penyelidikan dalam bidang alam sekitar.

Selain USM, empat lagi UA yang mendapat pengiktirafan khas kelestarian kampus hijau ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Turut hadir sama dari USM ialah Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global, Dr. Suzyrman Sibly dan Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Mohd Saad Bin Haji Din.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 2320

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024