USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CEMERLANG JUARAI BOLASEPAK MAKSAK 2017

WhatsApp Image 2017 05 15 at 10.52.21 PM

PULAU PINANG, 15 Mei 2017 – Kehebatan pasukan bolasepak Senior dan Veteran Universiti Sains Malaysia (USM) terserlah apabila kedua-dua pasukan muncul johan dalam kategori masing-masing pada Kejohanan Bolasepak Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK), peringkat negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Padang Sukan USM baru-baru ini.

Menebus kekecewaan ‘adik abang’ yang tumpas di peringkat separuh akhir pada edisi 2016, pasukan Senior USM cemerlang dalam perlawanan akhir apabila menundukkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dengan jaringan 2-0.

Pasukan Veteran USM yang turun beraksi selepas itu, dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menumpaskan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), 1-0 hasil jaringan minit-minit akhir perlawanan.

Pada peringkat separuh akhir, pasukan Senior USM mengalahkan PDC 2-0 sementara Veteran USM mengenepikan cabaran Penjara Reman, juga dengan jaringan 2-0.

WhatsApp Image 2017 05 15 at 12.22.40 PM

Lebih membanggakan, anugerah penjaring terbanyak kejohanan turut diraih Muhammad Afzan Zainal Abidin (Senior) dan Zairy Md Noor (Veteran), dengan masing-masing meledak 3 gol.

Pengurus pasukan, Mohamad Danial Shahri berkata, resipi kejayaan pasukan bergantung kepada persefahaman antara pemain yang telah lama dibentuk hasil daripada latihan dan perlawanan persahabatan yang diatur setiap minggu.

“Walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang agak becak, namun dengan disiplin tinggi yang diterjemahkan ditambah dengan kekuatan fizikal dan mental, menjadi kunci kejayaan pasukan.”

Tambahnya lagi, dengan munculnya pasukan senior dan veteran sebagai johan kejohanan, ianya membuktikan USM tidak meminggirkan pembangunan sukan kepada warga stafnya.

WhatsApp Image 2017 05 15 at 12.22.39 PM

“Terima kasih kepada pengurusan tertinggi USM, dan kepada semua yang sentiasa membantu bagi merealisasikan harapan setiap pemain yang sentiasa bekerja keras untuk mengharumkan nama USM.”

“Kejohanan ini juga menjadi platform persediaan buat pasukan senior dan veteran dalam menghadapi temasya sukan yang lebih besar lagi iaitu Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM), yang bakal diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada penghujung Julai nanti.”

MAKSAK 2017 menyaksikan 12 pasukan mengambil bahagian bagi kategori senior (terbuka) dan 7 pasukan dalam kategori veteran.

Teks/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1636

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024