USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RINTIS 2015 TONJOL KREATIVITI PELAJAR PPS USM

IMG 0140

PULAU PINANG, 10 April 2015 - ‘Research Innovation Towards Integration and Sustainability’ (RINTIS) 2015 mampu menonjolkan kreativiti dan keupayaan para pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pameran hasil kerja dan produk sebelum melangkah ke alam pekerjaan tidak lama lagi.

Demikian ujar Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) PPS, USM merangkap Pensyarah Kanan (Bahagian Drama dan Teater) Dr. A.S. Hardy Shafii yang mewakili Dekan PPS, ketika berucap di majlis pra-pelancaran program RINTIS 2015.

IMG 0125kjh

Majlis dirasmikan oleh Alumni USM yang juga penyanyi dan pelakon popular tanahair, Arja Lee di Dataran Permatang Pelajar, di sini, hari ini, manakala pelancaran secara rasmi bakal berlangsung pada 19 Mei depan di Dewan Budaya.

A.S. Hardy turut menegaskan bahawa, para pelajar bukan sahaja di PPS perlu lebih proaktif dan keluar dari zon selesa selain menonjolkan kebolehan dan kreativiti masing-masing serta tidak hanya begantung kepada pasaran kerja semasa yang terhad.

“Pelajar perlu keluar dari kepompong selesa dan membina masa hadapan bermula dari sekarang dengan mengambil segala peluang yang ada tanpa ada sempadan yang memisahkan.

IMG 0148klm

“Di USM sebenarnya kita beruntung kerana para pelajar diberi pilihan untuk memilih program minor masing-masing di luar bidang major dan para pelajar perlu menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.

"Ianya menggalakkan para pelajar keluar dari kepompong bidang major dan memanfaatkan ilmu dari kedua-dua bidang yang berbeza ini untuk memacu kecemerlangan pada masa hadapan,” ujar A.S. Hardy lagi.

IMG 0164

IMG 0173

Festival yang disambut buat kali ke-12 ini adalah platform untuk para pelajar tahun akhir mempamerkan kreativiti projek masing-masing yang meliputi pelbagai  disiplin iaitu bahagian Rekabentuk Grafik Komunikasi, bahagian Rekabentuk Teknologi Media Baru, Rekabentuk Produk, Seni Halus, Persembahan & Pedagogi dan Lakonan & Pengarahan. Sejarah RINTIS diperkenalkan sekitar tahun 2004 oleh Prof. Madya Hasnul J. Saidon.

Di samping itu, Pengerusi Bahagian Drama dan Teater PPS USM merangkap Pensyarah Kanan (Bahagian Drama dan Teater) Dr. Mumtaz Begum P.V Aboo Backer, turut menegaskan bahawa para pelajar generasi Y khususnya perlu bekerja keras untuk kebaikan pada masa hadapan dan tiada jalan pintas untuk berjaya.

“Tiada perkara yang senang di dunia ini, melainkan hanya kerja keras kerana ianya akan menghasilkan output yang baik pada masa hadapan, justeru program ini adalah bertepatan kerana selain memberi peluang kepada para pelajar tentang aspek kreativiti, ianya turut mendedahkan para pelajar tentang realiti kehidupan sebenar apabila tamat pembelajaran kelak.

IMG 0181jn

“Di PPS USM, kami memberi peluang kepada mereka menonjolkan segala bakat yang ada, tidak semestinya apabila keluar dari universiti nanti, mereka akan bekerja mengikut bidang yang dipilih namun kebolehpasaran graduan PPS meliputi pelbagai bidang contohnya pelancongan, pengurusan, perhubungan awam, sumber manusia, sosiologi, dan pelbagai rentas bidang yang lain.

“Namun paling penting ialah bagaimana para pelajar memasarkan diri mereka pada industri serta proaktif dan dengan apa yang diperolehi di PPS, semua ini boleh menjadi kenyataan,” ujar Mumtaz Begum mengakhiri sesi temubual.

Menurut Pensyarah PPS USM (Bahagian Seni Halus) yang juga Penasihat Program Rintis 2015, Dr. Tetriana Ahmed Fauzi, turut berharap agar para pelajar dapat menggunakan segala ilmu yang dipelajari selama ini dengan sebaik mungkin dan memanfaatkannya dalam program berkenaan.

IMG 0186

Dalam pada itu, Arja Lee turut menzahirkan rasa bangganya apabila para pelajar PPS mampu berdiri sendiri dalam melaksanakan program tahunan berkenaan dan berharap agar terus memacu kecemerlangan PPS pada masa hadapan.

“Saya berharap agar PPS akan terus dikenali dan terus membawa jenama USM di mana sahaja para pelajar berada.

“Saya bangga apabila bergelar graduan PPS USM dan pada masa yang sama menjadi pelakon yang berilmu. Secara jujurnya, saya sentiasa menyokong apa sahaja aktiviti yang dilaksanakan oleh PPS USM mahupun USM,” ujar Arja dalam nada yang gembira.

Program yang berlangsung selama sebulan bermula 10 April hingga 26 Jun 2015 ini turut menampilkan beberapa persembahan teater menarik, antaranya ialah Jalan Mati, Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan, Pengganti Zen, Peristiwa Di Zoo, Antara, Protes, dan Alice In Wonderland.

Perkataan RINTIS merupakan ringkasan ‘Research Innovation Towards Integration and Sustainability’, yang juga bermaksud ‘laluan’ yang merupakan satu platform untuk membawa komuniti pelajar tahun akhir menuju dan menembusi pasaran industri. - Teks: Siti Naquiah binti Abdillah

  • Created on .
  • Hits: 2038

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024