USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR BENGKEL PENGURUSAN DAN PROFESIONALISME UNIT INTEGRITI UNIVERSITI AWAM

USM, PULAU PINANG, 22 April 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Integriti, Pejabat Perundangan, telah menganjurkan Bengkel Pengurusan dan Profesionalisme Unit Integriti Universiti Awam (UA) baru-baru ini di sebuah hotel di Pulau Pinang.

Menurut Penasihat Undang-Undang USM, selaku Ketua Unit Integriti USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, bengkel ini adalah bertujuan untuk memperkasakan urus tadbir terbaik Unit Integriti UA serta berkongsi amalan terbaik yang diamalkan oleh Unit Integriti UA.

“Bengkel ini turut memberikan pendedahan kepada penubuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus Universiti, teknik siasatan, penyediaan laporan siasatan dan idea terbaik di dalam pengurusan Unit Integriti ke arah perkhidmatan bertaraf profesional serta penambahbaikan kepada pengurusan Unit Integriti yang sedia ada,” jelas Khairul.

“Selain daripada itu, ianya juga berperanan untuk memantapkan penyeliaan terhadap isu integriti di semua peringkat bagi mencegah dan menutup ruang serta peluang untuk berlakunya penyelewengan dan salahlaku dalam kalangan warga UA,” tegas Khairul yang merupakan penyelaras bengkel ini.

Sebanyak 20 buah Universiti telah menyertai bengkel ini yang terdiri daripada Universiti Awam dan Universiti Swasta. Bengkel ini melibatkan Pegawai Integriti, Pegawai Undang-Undang, Pegawai Tadbir dan staf Unit Integriti daripada seluruh UA yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan urusan di Unit Integriti.

Turut sama hadir ialah Ketua Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Zarith Sofia binti Jaafar.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 896

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024