USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GURU BAHASA THAILAND KENALKAN PERAYAAN SONGKRAN KEPADA PELAJAR USM

WhatsApp Image 2017 04 26 at 2.47.30 PM

PULAU PINANG, April 2017 – Memperkenalkan perayaan Songkran atau Tahun Baru Thailand kepada semua pelajar yang mengambil subjek LAS (Bahasa Thailand) adalah inisiatif yang dilakukan oleh guru bahasa Thailand dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Wallapa Buranawijarn di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Menurut Wallapa, perayaan Songkran adalah satu perayaan tahun baru yang disambut oleh masyarakat Thailand pada 13, 14 dan 15 April setiap tahun.

"Upacara yang dilakukan semasa perayaan ini ialah mencurahkan air bersih wangi yang diletakkan di dalam cawan kecil kepada tapak tangan individu yang lebih tua atau dihormati sambil mengucapkan kata-kata meminta maaf dan kata-kata penghargaan sebagai tanda memohon maaf dan penghormatan kepada individu tersebut.

WhatsApp Image 2017 04 26 at 2.47.33 PM

“Air yang digunakan untuk disiram ke tangan akan diletakkan ke dalam sebuah bekas terlebih dahulu kemudian diletakkan pelbagai jenis bunga berwarna warni dan wangi untuk mencantikkan dan mengharumkan air tersebut sebelum dimasukkan ke dalam bekas yang lebih kecil,” jelasnya.

Katanya lagi, acara memercikkan air secara beramai-ramai atau pesta air wujud apabila satu komuniti yang besar ingin memohon maaf antara satu sama lain tetapi disebabkan bilangan individu yang terlalu ramai, acara mencurahkan air tidak dapat dilakukan secara satu hala iaitu dari satu individu ke satu individu. Oleh itu, upacara mencurahkan air kepada orang ramai tersebut perlu dilakukan supaya semua orang mendapat keberkatan yang diinginkan.

"Di samping memahami budaya asing, pelajar juga boleh meningkatkan penguasaan bertutur dalam bahasa Thailand melalui ayat yang digunakan seperti 'selamat menyambut tahun baru', 'saya memohon maaf’, 'semoga panjang umur', ‘semoga mendapat kebahagiaan’ dan sebagainya kerana cara ini lebih praktikal dan memudahkan proses mengingat ayat-ayat di dalam bahasa Thai berbanding membaca dari buku semata-mata," kata Wallapa.

WhatsApp Image 2017 04 26 at 2.47.29 PM

Pelajar tahun 3 Pusat Pengajian Sains Fizik, Anis Zulaikha Zulkifli, berkata beliau berasa sangat gembira kerana dapat mengetahui budaya masyarakat Thailand yang hampir sama dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu bersalam untuk meminta maaf dari orang yang lebih tua namun yang berbeza hanyalah dari segi adat mengalirkan air ke tangan yang tidak dilakukan oleh masyarakat Melayu.

sdcsdc

Sementara itu, pelajar tahun 3 Pusat Pengajian Pengurusan, Siti Nor Fatihah A. Rahim pula berkata beliau berasa sangat teruja apabila dapat mengetahui budaya masyarakat Thailand yang selama ini tidak pernah diketahui oleh beliau.

"Sebelum ini saya berfikir perayaan Songkran hanyalah perayaan bermain dan mencurahkan air, namun di sebalik perkara tersebut terkandung maksud-maksud tersirat yang begitu dalam ertinya," kata Fatihah.

Bagi pelajar tahun 3 Pusat Pengajian Pengurusan, Tan Chun Yung pula, perasaan gembira dizahirkan memandangkan dia baru pertama kali mengetahui kesignifikanan festival Songkran.

WhatsApp Image 2017 04 26 at 2.47.32 PM

“Apabila belajar bahasa dan budaya asing, ia akan memberi kelebihan kepada diri kita kerana kita dapat berkawan dengan rakan-rakan dari luar negara dan mereka sudah pasti selesa bertutur dengan kita jika kita juga boleh bertutur bahasa mereka,” katanya.

Teks: Rodiah Binti Md Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi) / Foto: Nur Shahidatul Shahira Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi)

  • Created on .
  • Hits: 1914

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024