USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SSI USM ANJUR PROGRAM MENYEMAI MEMARTABAT MEMPERKASA BAHASA KEBANGSAAN MURID SJKT

DSC 8520

USM, PULAU PINANG, 22 April 2017 - Penguasaan Bahasa Melayu khususnya di sekolah-sekolah vernakular masih belum mencapai tahap yang diinginkan, dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha mencari kaedah bagi memperkasa penguasaan Bahasa Melayu khususnya di sekolah vernakular sebagai medium perpaduan nasional.

Demikian ujar Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam yang turut menegaskan langkah ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang inginkan semua pelajar khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menguasai Bahasa Melayu dengan baik untuk mengukuhkan perpaduan di negara ini.

Jelasnya, program seumpama ini merupakan satu program yang baik untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar India SJKT selain memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai satu wadah komunikasi yang penting apabila berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

 DSC 8580

"Selain itu, program ini diharap dapat menjadi platform yang berkesan untuk mahasiswa USM untuk membina semangat kesatuan dan mengukuhkan hubungan sesama ahli Sekretariat Sukarelawan India (SSI) serta membolehkan mereka menyerlahkan potensi dan bakat mereka menganjurkan sebuah program bertaraf universiti.

“Saya sarankan agar projek ini dapat diteruskan sebagai aktiviti tahunan Sekretariat ini, dan untuk tahun yang akan datang, boleh diperluaskan kepada sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di luar Pulau Pinang," katanya ketika merasmikan penutupan Program Menyemai, Memartabat dan Memperkasa Bahasa Melayu 1.0 (Projek 3M 1.0) di sini hari ini.

DSC 8609

DSC 8629

Objektif program julung kali ini adalah untuk:
1. Memupuk semangat pelajar-pelajar India untuk sama-sama melibatkan diri dalam pertandingan-pertandingan ataupun aktiviti-aktiviti yang melibatkan Bahasa Melayu;
2. Mewujudkan rasa sepunya dan bangga akan bahasa dan sastera kebangsaan negara;
3. Mengembangkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan dan penghayatan sastera kebangsaan dalam kalangan pelajar-pelajar berketurunan India;
4. Memupuk semangat pelajar-pelajar India untuk fasih dalam bahasa kebangsaan;
5. Memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cara untuk menyemai, memartabat dan memperkasa Bahasa Melayu dalam diri mereka.

Antara aktiviti sepanjang program ini adalah aktiviti membina peta minda, teka simpulan bahasa, sinonim, telefon rosak dan pertandingan drama.

DSC 8648

Projek 3M 1.0 ini dianjurkan SSI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, dan disertai lebih 200 orang pelajar dari SJKT sekitar Pulau Pinang.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM Tuan Hj. Mohd Saad bin Hj Din; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Abdul Wahab bin Hamzah; Yang Di-Pertua, SSI USM Srinantiswaaran Kandasamy; dan Pengarah Projek 3M Saaish Rao.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 2505

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024