USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PRO-NAIB CANSELOR BOURNEMOUTH UNIVERSITY UK

hby

PULAU PINANG, 9 April 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menerima kunjungan hormat Pro-Naib Canselor (Libatsama Global), Bournemouth University (BU), United Kingdom, Dr. Sonal Minocha, di pejabatnya di sini.

Kunjungan ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan Memorandum Persefahaman (MoU) USM-BU yang telah ditandatangani pada tahun 2010 yang merangkumi aktiviti-aktiviti yang banyak menjurus kepada kerjasama BU dengan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM khususnya Program Kerja Sosial dalam bentuk pertukaran pelajar, penyelidikan dan penerbitan.

Omar berharap kedua-dua USM dan BU akan mengembangkan lagi aktiviti kerjasama dengan bidang-bidang pengajian lain yang ada di USM di samping mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pertukaran pelajar dan kakitangan di kesemua bidang secara menyeluruh.

Omar dan Sonal turut mengadakan perbincangan tentang kerjasama untuk menganjurkan festival yang memfokus kepada pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan antara USM dan BU, sekaligus penglibatan universiti-universiti lain di rantau ini menerusi Asia Pacific University Community Engagement (APUCEN) di mana USM selaku sekretariat.

Festival itu dijangka akan diadakan di USM pada tahun 2016.

photo

“Saya yakin festival ini dan juga aktiviti lain yang dirancang akan mengharumkan lagi nama USM di persada antarabangsa selaku hub pengembangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari pelbagai sudut secara berterusan,” tambah Omar.

Hadir sama ialah Dekan PPSK Profesor Madya Dr. Nor Malina Malek, dan Pengerusi Program Kerja Sosial, PPSK, Profesor Madya Dr. Azlinda Azman.

Sonal turut berkesempatan mengunjungi Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ See Ching Mey bagi membincangkan lebih lanjut akan festival yang bakal diadakan kelak itu. - Sumber teks: Profesor Madya Dr. Nor Malina Malek & Profesor Madya Dr. Azlinda Azman

  • Created on .
  • Hits: 1272

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024