USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UNSIL KEMBANGKAN PEMBANGUNAN BAHASA INGGERIS BERSAMA

DSC 7729

USM, PULAU PINANG, 20 APRIL 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan terus melebarkan rangkaian antarabangsa dengan berkolaborasi dengan Universitas Siliwangi (UNSIL) Tasikmalaya, Indonesia.

Kerjasama ini bakal meliputi pertukaran pelajar, kegiatan pembangunan akademik terutama dalam bidang bahasa Inggeris serta perkembangan bersama aktiviti penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Demikian jelas Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail semasa menerima delegasi daripada UNSIL yang diketuai oleh Rektor UNSIL, Profesor Dr. H. Rudi Priyadi dalam Majlis Penandatanganan dan Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan UNSIL kelmarin.

indon 45

“Semenjak Disember 2016, kerjasama UNSIL dan USM terjalin apabila UNSIL menghantar tiga orang pelajarnya ke USM untuk menjadi fasilitator bagi program ‘International Leadership and English Language Camp (LELAC)’ anjuran Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM. Manakala pada tahun ini, empat orang pelajar TESOL PPIP USM akan menjalani latihan mengajar di dua buah sekolah di Tasikmalaya , Indonesia selama dua bulan bermula 17 April 2017 hingga 11 Jun 2017 di bawah program ‘International Teaching Practicum (ITP)’.

“Hubungan yang dijalinkan antara USM dan UNSIL haruslah mempunyai kepercayaan yang tinggi supaya hubungan tersebut bertahan lebih lama. Kedatangan pelajar-pelajar Pendidikan bahasa Inggeris ke Pulau Pinang dinantikan pada tahun 2018 agar membawa lebih banyak aktiviti penyelidikan,” ujar Asma.

DSC 7752

Tambah beliau lagi, penyelidikan dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dijalankan kerana kedua-dua universiti telah mempersetujui untuk membangunkan jurnal “Teaching and Learning English in Multicultural Contexts” yang akan dibantu oleh pensyarah-pensyarah USM dari segi keahlian Editorial Board.

Sementara itu, Rudi menyatakan bahawa UNSIL hanya mempunyai 12 511 orang pelajar, namun beliau berani untuk menjalinkan kerjasama dengan USM supaya dapat berguru dengan USM dan dapat memperkembangkan UNSIL dengan lebih baik lagi.

DSC 7735

Turut hadir di majlis itu ialah Dekan PPIP USM, Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail; Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan UNSIL, Dr. H. Cucu Hidayat; pensyarah-pensyarah PPIP, Pegawai Utama USM, tetamu dari UNSIL dan warga PPIP USM.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi USM) 

  • Created on .
  • Hits: 1316

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024