USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAIH ANUGERAH APUCEN KATEGORI BELIA

apucen 4i

PULAU PINANG, 20 April 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) meraih Anugerah APUCEN International Youth Volunteer 2017 bagi kategori Youth melalui projek RLE J-Force Mobile Carwash. Sebanyak 14 buah institusi mengambil bahagian dalam kategori ini dan USM menjadi antara enam finalis termasuk dari Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan The University of Nottingham Malaysia Campus dari Malaysia dan Universitas Negeri Malang, Indonesia sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

USM membawa pulang wang tunai berjumlah USD3000.00 beserta trofi yang ditaja oleh Kyoto University of Foreign Studies, Jepun dan anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Idris Jusoh selepas merasmikan APUCEN Summit 2017 di sini hari ini.

Menurut Ketua Juri, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein sebanyak 61 penyertaan telah diterima bagi tujuh kategori utama meliputi dari pelbagai negara termasuk Afrika Selatan, Thailand, Indonesia, Jepun, Filipina, Pakistan dan juga Malaysia.

Juri bagi anugerah ini adalah Profesor Dato Dr. Mohd Ismail Abd Aziz dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim dari Universiti Utara Malaysia, Dr. Nazarudin Zainun (USM) dan Professor Emeritus Chris Pratt dari Australian College of Applied Psychology.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Youth, Entrepreneurship, Environment, Education, Women, Health dan Open namun hanya lima anugerah dimenangi oleh lima institusi dan dua kategori tiada pemenang pada kali ini.

Kategori Education yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD3000.00 beserta trofi yang ditaja oleh Toray (Malaysia) Sdn. Bhd. telah disandang oleh San Pedro College dari Filipina dengan projek bertajuk Sexuality Education with Love For the Youth (SELFY): An advocacy Against Teenage.

UPM memenangi kategori Environment dan membawa pulang wang tunai berjumlah USD3000.00 beserta trofi tajaan E & O Property (Penang) Sdn. Bhd.  manakala kategori Entrepreneurship tajaan USAINS Holdings Sdn. Bhd. disandang oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD3000.00 dan trofi.

Di samping empat kategori tersebut, Tenaga Nasional Berhad telah menyumbang sebanyak USD2000.00 bagi kategori khas juri dan dimenangi oleh International Medical University,Malaysia.

Turut sama bagi menyampaikan anugerah adalah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa dan Ebrahim Abdul Manan. 

  • Created on .
  • Hits: 1321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024