USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAYANGILAH BUAH PINGGANG ANDA

17457605 828196254003121 7379668142288198532 n

USM, PULAU PINANG, 16 April 2017 – Sakit buah pinggang kronik adalah gejala yang amat merbahaya dan ditakuti jika ia tidak dijaga dan dikawal dengan elok dari peringkat awal.

Hal ini ditegaskan oleh Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan merangkap Ketua Unit Chronic Kidney Disease (CKD) Resource Centre Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Madya Dr. Azreen Syazril Adnan semasa ceramah “Sayangilah Buah Pinggang Anda” dalam Program Minggu Kesihatan Sedunia 2017 anjuran Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Lebih kurang 90 orang warga USM hadir mendengar ceramah tersebut yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, pakar perubatan, staf jabatan lain dan juga siswa-siswi USM.

Menurut Dr. Azreen, sakit buah pinggang kronik ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor tertentu. Antaranya ialah faktor keturunan, tekanan darah, tabiat suka merokok, diabetes, gaya hidup tertentu, pengambilan ubat tahan sakit yang tidak terkawal dan kurang senaman. Ia mudah terjadi kepada golongan lelaki.

“Terdapat beberapa peringkat sakit buah pinggang yang kronik iaitu tahap satu hingga lima. Tahap lima adalah tahap yang para pengidap seharusnya melakukan dialisis kerana tahap dua hingga empat sebenarnya tiada tanda yang jelas dan pesakit mungkin merasa sihat namun hakikatnya buah pinggang mereka sudah rosak,” jelas Dr. Azreen.

“Jika pesakit tidak mengelak dan mengawal buah pinggang masing-masing, kos rawatan yang akan ditanggung adalah lebih kurang RM 3,000-3,500 sebulan,” tambah Dr. Azreen lagi.

Antara pesanan Dr. Azreen untuk menjaga buah pinggang ialah dengan mengawal tekanan darah dan kurangkan pengambilan garam, mengawal paras gula, mengawal paras kolestrol dan lemak, mengelakkan pengambilan ubatan tradisional serta elakkan mengambil ubat tahan sakit seperti ponstan dan voltagen.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail

  • Created on .
  • Hits: 1630

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024