USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PATUH RAWATAN DAN PENCEGAHAN TIBI – DR. IRFHAN ALI

17760114 828195037336576 722731803560785240 n

USM, PULAU PINANG, 13 April 2017 – Menyedari pentingnya untuk merawat dan mencegah daripada dijangkiti penyakit tibi, Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan ceramah bertajuk Bersama Tamatkan Tibi 'Leave No One Behind' oleh Ketua Jabatan Pakar Perubatan Respiratori, Hospital Pulau Pinang, Dr. Irfhan Ali Hyder Ali di Bilik Ibn Sina, Pusat Sejahtera USM baru-baru ini sempena Minggu Kesihatan USM.

Menurutnya, tibi atau lebih dikenali sebagai penyakit batuk kering (tuberkulosis) adalah sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya disebabkan oleh kuman mycobacterium bacillus.

"Penyakit tibi adalah satu penyakit berjangkit yang sangat berbahaya namun masih boleh dicegah dan dirawat dengan pematuhan arahan-arahan yang ditetapkan oleh doktor dan pakar-pakar kesihatan.

“Rawatan perlu dilakukan lebih awal dengan mengenalpasti gejala-gejala penyakit tibi seperti batuk berkahak melebihi dua minggu, kahak berdarah, demam waktu petang atau malam, mengalami sakit dada apabila batuk dan menghela nafas panjang, hilang selera makan serta berat badan menyusut.

Jelasnya, jika terdapat gejala-gejala tersebut, individu berkenaan perlu melakukan pemeriksaan di hospital atau klinik supaya dapat merawat penyakit tersebut daripada menjadi lebih teruk, sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

Pada dua bulan pertama, pesakit perlu datang ke hospital atau klinik pada setiap hari untuk memastikan mereka tidak meninggalkan rutin dengan memakan ubat bagi menyembuhkan penyakit tersebut. Selepas tempoh dua bulan tersebut, pesakit masih lagi perlu berjumpa dan mendapatkan rawatan bagi memastikan penyakit tersebut benar-benar sembuh.

Tambah beliau, langkah pencegahan bagi penyakit ini boleh dilakukan dengan mendapatkan diagnosis dengan segera dan betul; mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan; mendapatkan pendidikan berkenaan tibi; memastikan sukatan ubat-ubatan yang diambil adalah tepat; dan mengadakan ujian saringan kepada individu yang berisiko tinggi mendapatkan jangkitan tibi.

"Antara golongan yang berisiko tinggi mendapatkan jangkitan tibi ialah penagih dadah; mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pesakit tibi; pembawa HIV; pesakit paru-paru obstruktif (COPD);  mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes; tekanan darah tinggi; dan buah pinggang serta penghisap rokok," kata Irfhan.

Beliau berharap supaya setiap masyarakat mengambil berat tentang masalah kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan bagi mengelakkan penyakit ini menjadi lebih teruk.

Ceramah ini telah disertai seramai 100 orang peserta termasuk staf dan pelajar USM.

Teks: Rodiah Daud

  • Created on .
  • Hits: 7702

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024