USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TOT KE-43 MAMPU TINGKAT MUTU SUKAN OLAHRAGA USM

EAM 0095

USM, PULAU PINANG, 18 April 2017 – Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang ke-43 melabuhkan tirai dengan menobatkan Satiyaseelan A/L K. Mahalingam daripada Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan sebagai atlet terbaik lelaki dalam acara 5000 meter (M) jalan kaki dengan catatan masa 30.5 saat manakala Farn Mei Nie daripada Desasiswa Restu sebagai atlet terbaik wanita dalam acara melempar cakera dengan rekod 27.6 m.

Menurut Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, TOT ke-43 ini telah berjaya mencapai matlamat murninya iaitu ke arah meningkatkan mutu sukan olahraga bukan sahaja pada peringkat universiti tetapi juga pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

tot 8

“Saya berharap agar pengalaman dalam penganjuran kejohanan ini akan dihargai dan dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya kepada warga USM sekaligus membantu melonjakkan nama USM sebagai institusi penganjuran program sukan terbaik,” tegas Adnan semasa perasmian penutup TOT baru-baru ini.

“Syabas dan tahniah kepada kontingen dan atlet yang berjaya merangkul kejuaraan. Bagi atlet yang tidak berjaya, usah putus asa, berusaha lagi untuk mencipta kecemerlangan pada masa akan datang. Semangat kesukanan yang tinggi dan usaha yang kental haruslah dipupuk dalam sanubari setiap atlet,” tambah Adnan.

Adnan turut merakamkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAA) dan pengadil atas sokongan dan kerjasama yang dihulurkan demi pelaksanaan Temasya ini.

tot 76

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengelola TOT ke-43, Muhammad Aminnudin Raihanulazmi, untuk mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak dalam penganjuran temasya olahraga ini amatlah mencabar demi memenuhi aspirasi universiti ke arah kecemerlangan pembangunan sukan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua kontingen dan atlet yang telah berjaya merangkul kejuaraan dan juga beraksi dengan penuh cemerlang pada tahun ini. Saya berharap dengan kejayaan ini dapat membakarkan semangat anda dalam melibatkan diri dalam bidang sukan sama ada pada taraf universiti atau peringkat yang lebih tinggi,” tambah Aminnudin.

Keputusan keseluruhan dirangkul oleh Desasiswa Jaya bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita, dirangkul oleh Desasiswa Nurani.

EAM 0165

Sementara itu, bagi anugerah-anugerah lain seperti ‘Fair Play’ telah dinobatkan kepada Desasiswa Saujana; Khemah terbaik dinobatkan kepada Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan, Restu dan Tekun. Bagi perbarisan terbaik, pemenangnya ialah Desasiswa Tekun, Aman Damai Fajar Harapan dan Restu. Bagi maskot mesra pula, disanjungi oleh Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan, Lembaran dan Tekun. Manakala, anugerah terakhir iaitu sorak terbaik telah dimenangi oleh Desasiswa Restu, Tekun dan Aman Damai Fajar Harapan.

Yang turut hadir ialah isteri TNC BHEPA, Datin Kamaliah Siarap; Pengerusi Penggawa USM, Profesor Dr. Mahmod Sabri Haron; Pengarah Pembangunan Pelajar BHEPA, Dr. Nazarudin Zainun; Pengarah Pusat Sukan & Rekreasi USM, Tuan Haji Muhamad Mohd Hanif; pegawai-pegawai universiti dan penggawa desasiswa.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1964

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024