USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRASAMBUTAN INTERNATIONAL JAZZ DAY: USM JAZZ BAND BERGANDING DENGAN UPSI BIG BAND

17523180 1877004132520584 6137916110069203192 n

USM, PULAU PINANG, 12 April 2017 – Bersempena International Jazz Day yang jatuh pada 30 April 2017, USM Jazz Band dengan kerjasama Dewan Budaya USM sekali lagi akan mengadakan prasambutan festival ini pada 14 dan 15 April 2017 dengan pelbagai aktiviti yang menarik di Auditorium Dewan Budaya, USM.

Sepanjang dua hari ini, sebanyak 3 bengkel bakal diadakan dan penyertaan bengkel adalah percuma. Konsert bersempena festival ini juga akan diadakan pada 8.30 malam, 15 April 2017 yang menampilkan persembahan khas daripada pelajar muzik Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Tiket dijual pada harga RM20 bagi penonton umum dan RM15 bagi pelajar.

Bengkel pertama yang akan dilaksanakan pada 14 April bermula dari jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari dan akan dikendalikan oleh Michael Veerapen. Beliau merupakan seorang graduan dari Berklee College of Music dan juga merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana di Pusat Pengajian Seni USM.

Veerapen yang berasal dari Seremban ini banyak diberikan kredit atas semangat beliau dalam memperkenalkan, memperjuangkan dan mempromosikan muzik jazz dan muzik kontemporari di Malaysia serta dalam penubuhan band Asia Beat yang dikenali di rantau Asia ini.

Bengkel ini akan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai teknik improvisasi yang efektif dalam muzik Jazz.

Bengkel kedua pula akan diadakan pada sebelah petang pada hari yang sama bermula dari pukul 3 hingga 5 petang. Bengkel ini bakal dikendalikan oleh komposer terkenal tanah air, Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali dengan gelaran Azmeer. Beliau akan berkongsi pengalaman beliau mengenai industri muzik tanah air serta bagaimana seorang pemuzik amatur ingin mula memasarkan diri dan muziknya dalam bidang ini.

Bengkel yang terakhir pada 15 April 2017 (Sabtu) yang bermula dari 10 pagi sehingga 12 tengah hari merupakan sesi perkongsian pendapat daripada para tetamu dan alumni USM yang dijemput untuk mengendalikan bengkel.

Persembahan yang paling dinantikan adalah konsert Jazz yang akan diadakan pada 15 April, jam 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Budaya, USM. Konsert ini bakal mempersembahkan muzik jazz daripada USM Mini Big Band dan tetamu khas pada tahun ini, UPSI Big Band.

Acara pembukaan akan diserikan lagi oleh persembahan dari seksyen muzik bertali dan kumpulan ‘acapella’ USM Jazz Band iaitu kumpulan Voice-Over-Voices.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang facebook USM Jazz Band atau boleh berhubung terus dengan Cik Felicia Kong (Presiden USM Jazz Band) di talian 012-4953969 atau Pn. Andy Siti Nurhidayah Rahim (Pegawai Kebudayaan, Dewan Budaya) di talian 04-653 3487 / 012 682 4449.

  • Created on .
  • Hits: 1083

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024