USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, ADVERTISING NAGATA CO. LTD JEPUN BERHASRAT JALANKAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT (CSR) BERSAMA

17861818 1374083879319308 1978525178022616778 n

USM, PULAU PINANG, 11 April 2017 – Sebuah syarikat pengiklanan terbesar di Jepun, Advertising Nagata Co. Ltd berhasrat menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) bersama-sama Universiti Sains Malaysia (USM).

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, USM mengalu-alukan kerjasama daripada pihak industri untuk bersama-sama dalam perkembangan dan pembangunan kelestarian serta jaringan komuniti.

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), USM bersedia menjana pendapatan sendiri selain daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” tambahnya dalam ucapan aluan sempena kunjungan hormat delegasi Advertising Nagata Co. Ltd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ichiro Nagata di sini, hari ini.

Asma berharap, kolaborasi di antara pihak industri dan USM dapat direalisasikan demi kebaikan kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, jurucakap bagi pihak Advertising Nagata Co. Ltd, Dr. Wong Lai Yong berkata, syarikat pengiklanan Nagata ini telah banyak menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya di kebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Myanmar, Indonesia dan juga Malaysia.

“Kini, kami ingin mencari peluang dalam menjalankan CSR bersama-sama institut pengajian tinggi khususnya USM yang dikenali sebagai sebuah universiti yang mengamalkan kelestarian,” jelasnya lagi.

Yang hadir sama dalam perjumpaan ini ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, Profesor Dr. Azlan Amran, dan Penyelaras Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Yeoh Fei Yee.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1580

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024