USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI KESEDARAN KEMURUNGAN BANTU PULIH EMOSI MANGSA BANJIR

22115 10206362292480551 7923836646420509760 n

KUALA KRAI, 9 April 2015 - Tiga bulan berlalu, namun trauma masih menghantui sebilangan besar mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Kuala Krai.  Akibat daripada ‘tsunami darat’ itu, bukan sedikit kesan yang ditinggalkan.  Malah di seluruh Bandar Kuala Krai, rata-rata masih dapat dilihat kemusnahan yang berbaki. 

Mata melihat kemusnahan yang ada, namun jiwa yang terkesan, kemelut di dada masih berbekas akan terus berdarah tatkala memikirkan bagaimana untuk kembali bangkit membuka lembaran baru kehidupan. Kemurungan mula menguasai diri dan emosi tidak lagi seperti sediakala. 

Memahami perasaan mereka yang terlibat, para pakar dan petugas Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dengan kerjasama “Malaysian Psychiatry Association’ (MPA) mengadakan Hari Kesedaran Kemurungan 2015 di Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan. 

11150449 10206362291000514 2116296514213109100 n

Dengan bertemakan ‘Kebangkitan Daripada Keruntuhan’ usaha dibuat untuk membantu seramai mungkin mereka yang terjejas dengan musibah banjir ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Sharifah Zubaidiah Syed Jaapar memberitahu, program ini bertujuan membantu memberi kesedaran awal dari segi emosi kepada penduduk yang terlibat dengan banjir kerana sebilangan besar daripada mereka seolah-olah hilang keyakinan dan kekuatan sedangkan itu adalah tunjang untuk kelangsungan kehidupan. 

“Program ini memberi tumpuan kepada trauma dan kesan trauma ke atas individu, keluarga dan masyarakat selain membantu mereka memulihkan emosi kerana sudah banyak pihak yang membantu dari segi fizikal dengan memberi pendedahan awal cara untuk mengurus tekanan, ke mana hendak dituju untuk dapatkan rawatan dan pencegahan malahan mereka yang pernah mengalami kemurungan boleh membantu individu lain dengan berkongsi pengalaman mereka sendiri,” jelas Sharifah Zubaidah.

Tambahnya lagi, pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dalam melaksanakan program ini dan menjadi harapan Jabatan Psikiatri untuk mengadakan program seumpama ini pada masa hadapan di jajahan-jajahan lain yang turut terlibat dengan banjir.

11059347 10206362291640530 5840959088206401333 n

Pemilihan Kuala Krai sebagai lokasi sangat bertepatan memandangkan jajahan tersebut adalah yang paling teruk terjejas akibat banjir.  Seramai 70,035 mangsa daripada 1,407 keluarga telah terjejas akibat daripada banjir yang melanda dan melumpuhkan 80 peratus jajahan Kuala Krai.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,257 keluarga kehilangan rumah sepenuhnya. 

Peserta program yang juga mangsa banjir, Mohd Abd Ghani Suhaimi, 64, ketika ditemui berkata, program sebegini dapat membantu beliau memulihkan kembali semangat yang hilang dan mencari sinar kebahagiaan.

"Setelah mengharungi musibah banjir dan kehilangan seorang cucu akibat dibawa arus semasa  'Bah Kuning' sememangnya memberi kesan  dalam diri saya kerana sehingga hari ini saya masih belum mendapat khabar berita mengenai beliau namun  saya  meletakkan harapan yang tinggi dan sentiasa berdoa agar cucu saya ditemui walau pun rumah yang dibawa arus telahpun diganti dengan rumah baru namun  perasaan sugul dan sedih masih menghantui hidup kami sekeluarga,” ujarnya.

Mohd Abd Ghani turut berharap program seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memulihkan semula emosi penduduk yang terjejas banjir yang kini masih lagi trauma dan resah.

Program ini diisi dengan ceramah, forum dan pameran kesihatan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kesihatan mental di samping pemeriksaan kesihatan dan saringan kesihatan mental yang dibuat untuk  mengesan tanda-tanda awal penyakit fizikal dan mental yang dihadapi oleh peserta yang diharapkan perawatan dan  intervensi dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi membantu pemulihan segera. 

Program ini dirasmikan oleh Ketua Jajahan Kuala Krai, Haji Tengku Azmi Haji Tengku Jaafar.  Yang hadir sama ialah  Presiden ‘Malaysian Psychiatric Association, Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal, Penyelaras ‘Psychological First Aid (PFA) HUSM, Dr Asrenee Ab Razak serta wakil-wakil agensi yang terlibat. - Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid & Mohd Hafiz Yaacob/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto:  Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sukri

  • Created on .
  • Hits: 1487

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024