USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR SERTAI MESYUARAT GSIAC BERSAMA PERDANA MENTERI

WhatsApp Image 2017 04 06 at 10.58.55 PM

NEW DELHI, INDIA, 6 April 2017 - Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) merangkap Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menghadiri Mesyuarat Tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (Global Science and Innovation Advisory Council - GSIAC) ke-7 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di sini baru-baru ini.

GSIAC adalah platform antarabangsa bagi mendapatkan input berhubung amalan-amalan terbaik dalam menangani cabaran serantau dan global melalui penguasaan serta aplikasi sains dan inovasi.

Mesyuarat berkenaan adalah antara intipati lawatan rasmi Perdana Menteri ke India yang bertujuan membuka peluang bagi kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

Mesyuarat GSIAC ke-7 bertemakan Industry 4.0: Accelerating Digital and Bio-economy Agenda From Talk To Action. Fokus utama mesyuarat ini adalah untuk mengupas isu-isu terbaru yang akan meningkatkan daya saing negara dan kesejahteraan rakyat dengan memperkasakan agenda digital serta bio-ekonomi negara.

india 2

Turut hadir ke Mesyuarat GSIAC ke-7 ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed; CEO Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Abraham Liu Kang; President Director merangkap CEO PT Bakrie & Brothers, Bobby Gafur Umar; Presiden Global Federation of Competitiveness Council, Deborah L. Wince-Smith; Pengasas dan CEO Institute for Imagination and Ingenuity, Prof. Dr. Hayat Sindi, dan ramai lagi.

Terdahulu, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail turut menyertai sesi 'luncheon meeting' bersama Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Idris Jusoh dan Timbalan Ketua Menteri Delhi, Manish Sisodia di ITC Maurya Hotel. Turut serta ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Dalam perjumpaan tersebut, pihak Kementerian Pendidikan di India memaklumkan telah menubuhkan University of Pharmaceutical Research yang merupakan universiti pertama sedemikian di India dan berhasrat untuk menjalinkan kerjasama penyelidikan bersama dengan mana-mana Universiti Awam di Malaysia.

YB Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia telah mengenalpasti dan memberi penghormatan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetuai kerjasama penyelidikan dengan Universiti tersebut kerana USM merupakan universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian Sains Farmasi.    

Presiden ASM turut hadir di MICEOF Gala Dinner di Taj Palace Hotel, New Delhi, India. Majlis makan malam yang menghimpunkan ahli-ahli korporat ternama Malaysia dan India ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama bagi kedua-dua negara.

Turut hadir ialah Presiden Malaysia-India Business Council merangkap Pengerusi Malaysia-India CEO Forum, Tan Sri Dato' Tan Boon Seng@Krishnan serta ramai lagi.

  • Created on .
  • Hits: 1373

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024