USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FMAPP PLATFORM SATUKAN MAHASISWA PULAU PINANG SELURUH UNIVERSITI AWAM MALAYSIA

penang 1

USM, PULAU PINANG, 1 April 2017 - Buat julung kali dalam sejarah penubuhannya, Persatuan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Festival Mahasiswa Anak Pulau Pinang (FMAPP) di USM yang melibatkan hampir 300 orang peserta yang terdiri daripada Mahasiswa Negeri Pulau Pinang dari Universiti Awam dan Swasta di Malaysia.

Menurut Pengarah Focus Group Modal Insan Negeri Pulau Pinang, Haji Shariful Azhar Othman, jalinan silaturahim antara pelajar pastinya utuh walaupun belajar di tempat yang berlainan apabila adanya gabungan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

penang 2

“Program ini dapat memberi pendedahan serta pengalaman kepada mahasiswa mendalami serta mengupas isu masyarakat dari aspek ekonomi, pendidikan, dan sosial,” katanya semasa merasmikan bagi FMAPP di sini kelmarin.

“Unsur-unsur cinta dan semangat patriotik terhadap negara kita dapat dibina dan sudah semestinya perasaan cinta dan semangat berkobar-kobar untuk negara disemai dalam diri masing-masing melalui penganjuran program berimpak ini,” tambah Shariful.

Beliau juga yakin dan percaya bahawa dengan adanya program sebegini, mahasiswa akan bijak menganalisis isu serta mempunyai daya saing yang tinggi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

penang 3

Sementara itu, menurut Pengarah Pembangunan Sahsiah Pelajar USM, Dr. Nazarudin Zainun, peserta yang terlibat dapat mengambil input yang bernas dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian serta memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa Pulau Pinang sepanjang tiga hari festival.

“Program ini dapat menyuntik semangat kecintaan terhadap negeri ini serta menyatupadukan kita dalam mengerakkan Pulau Pinang ke arah kecemerlangan, selain itu unsur cinta dan semangat patriotik terhadap negara juga dapat dipupuk,” tegas Nazarudin yang membaca teks ucapan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni.

Beliau amat menyokong dan bersetuju dengan program sebegini kerana ia dapat melatih mahasiswa untuk berfikiran lebih terbuka serta cakna akan isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka sama ada Pulau Pinang, Malaysia, mahupun peringkat global.

Antara aktiviti yang direncanakan sepanjang festival ini berlangsung adalah ‘Persidangan Kepimpinan’ melibatkan Majlis Perundingan Mahasiswa Pulau Pinang, Ceramah Asal Usul Pulau Pinang, Masa Depan Mahasiswa Pulau Pinang dan Deklarasi Mahasiswa Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, terdapat Sukan Anak Pulau Pinang dan Makan Malam Bersama TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang juga turut diaturkan.

DSC 6803

Turut hadir semasa perasmian adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Dr. Mohd Hassan Mohd Osman; Penasihat FMAPP, Dr. Mohd Affendy Mohd Yusof; dan Dr. Nor Azlan Othman yang mewakili Rektor Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 2178

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024