USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BATI LAHIRKAN GRADUAN SEIMBANG IQ DAN EQ

untitledgfhfg

USM, PULAU PINANG, Mac 2017 – Bahagian Terjemahan dan Interpretasi (BATI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) yang berusia 25 tahun (1992 - 2017) telah melahirkan graduan yang berkualiti dan seimbang dari segi IQ dan EQ selaras dengan tiga agenda besar APEX 2020 USM iaitu global excellence, national relevance dan value-driven.

Dalam Majlis Jamuan Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang sempena sambutan jubli perak BATI USM pada 18 Mac lalu, wakil alumni BATI, Noraiha Noordin berkata, graduan BATI kebanyakannya berkhidmat dalam sektor kerajaan, syarikat-syarikat multi nasional dan pemain utama industri global.

“Graduan BATI mempunyai kelebihan dalam pasaran kerja kerana asas-asas dalam pengajian terjemahan dan interpretasi yang dipelajari merupakan kemahiran boleh pindah (transferrable skills) yang dapat diadaptasikan dalam dunia pekerjaan sama ada dalam bidang terjemahan/interpretasi itu sendiri atau bidang-bidang lain.

“Tambahan pula, kemahiran dwibahasa dan dwibudaya yang diterapkan menjadikan graduan BATI seorang yang fleksibel dalam pekerjaan terutama dalam suasana kepelbagaian dari segi pangkat, jantina dan kemahiran,” tambah Noraiha lagi.

Untuk memperkenalkan BATI dan memartabatkan pengajian terjemahan dan interpretasi, pihak BATI dan pensyarah telah membuat pelbagai usaha promosi dan rebranding, antaranya menubuhkan Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTi).

Sementara itu, Penyelaras BATI, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong ketika ditemui berkata, Program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Terjemahan & Interpretasi) mula ditawarkan pada tahun 1992 di USM dan ia satu-satunya program BA Terjemahan dan Interpretasi di Malaysia.

“Sehingga hari ini, graduan yang dilahirkan sudah mencecah 1,000 dalam tempoh 25 tahun. Lepasan BATI bukan sahaja berkecimpung dalam kerjaya yang secara langsung berkait dengan terjemahan dan interpretasi, seperti penterjemah, penyari kata, jurubahasa, pengalih suara, editor, penulis, malah banyak juga graduan BATI bekerja dalam sektor pentadbiran dan pengurusan, pemasaran, perguruan dan sebagainya,” kata Goh.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sempena sambutan jubli perak BATI seperti syarahan tokoh negara; Seminar Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu – China 2017 di Guangdong University of Foreign Studies pada 13 hingga 14 Mei 2017; Kursus Profesional Terjemahan; Kursus Semiprofesional Interpretasi; Pameran Projek Terjemahan Pelajar dan Bulan Kerjaya Terjemahan dan Interpretasi.

Seramai 80 orang alumni BATI hadir termasuk Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat; pengarah projek Jamuan Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang, Dr. Noraini Ibrahim-Gonzalez; pensyarah-pensyarah kanan BATI dan PPIK USM.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1841

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024