USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MERUNGKAI SEJARAH BAGAN DAN SEBERANG PERAI – DAHALAN FAZIL

DSC 6582

USM, PULAU PINANG, 31 Mac 2017 – Bagan bermaksud jeti atau pengkalan untuk berlepas ke suatu tempat seperti Tanjong yang kini dikenali sebagai George Town. Bagan, merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terdiri daripada tiang-tiang dan palang kayu untuk jemuran dan untuk didirikan sebagai pengkalan.

Demikian ujar Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang (PERWARISAN) selaku pengkaji Sejarah Tempatan, Dahalan Fazil ketika perkongsian mengenai sejarah Pulau Pinang dalam Siri Syarahan CenPRIS – Dato’ Jenaton kali ke-4 baru-baru ini di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM).

Jelasnya, Tanah Besar yang bertentangan dengan Tanjong Penaga dikenali sebagai Bagan dan ia merupakan kawasan penempatan awal penduduk tempatan. Nama Bagan berasal daripada 10 tempat yang bermula dengan nama Bagan iaitu Bagan Belat, Bagan Tambang, Bagan Lebai tahir, Bagan Dalam, Bagan Ajam, Bagan Jermal, bagan Lama, Bagan Luar, Bagan Tuan Kecil, Bagan Lalang dan Bagan Serai.

“Perkongsian sejarah Seberang Perai kurang diberi perhatian dan sejarahnya hanya tertumpu kepada cerita-cerita lisan sahaja. Nama Perai dikatakan berasal daripada perkataan Siam yang membawa maksud ‘rakyat tunggu di sini’ dan Seberang Perai dan Pulau Pinang menjadi tumpuan pelarian perang dan markas mengatur serangan Gerakan Pembebasan Kedah,” jelas Dahalan.

cenpris 78

Tambah Dahalan, Bagan merupakan pusat pertumbuhan ekonomi kerana terdapat perkhidmatan feri rantai atau Chain Ferry yang dijadikan pengangkutan awal suatu ketika dahulu yang merentasi Sungai Perai antara Perai dan Ujong Batu. Terdapat juga kilang memproses gula yang diberi nama Kilang Gula Perai.

“Pada tahun 1899, Stesen Keretapi Perai dibina untuk merentasi Sungai Perai terus ke Georgetown dan nama Bagan semakin tenggelam dan digantikan dengan Butterworth apabila William John Butterworth yang merupakan Gabenor Negeri-Negeri Selat (1843-1855) mengambil alih pentadbiran Negeri Selat dan dijadikan sebagai pusat pentadbiran British,” katanya.

Siri Syarahan CenPRIS – Dato’ Jenaton anjuran CenPRIS USM, PERWARISAN, Keluarga Dato’ Jenaton (K-Jenaton), Unit Sejarah Lisan dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM dan turut dihadiri oleh Pengarah CenPRIS, Prof. Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk; Konvenor Syarahan CenPRIS-Dato’ Jenaton, Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican; pensyarah USM dan keluarga Dato’ Jenaton.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 5391

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024