USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NILAI KEUSAHAWANAN JAYAKAN MTW2017, SERU UMAT ISLAM MENGIMARAHKAN MASJID

WhatsApp Image 2017 03 30 at 12.33.43 PM

USM, PULAU PINANG, 30 MAC 2017 - Masjid dalam sejarah dan falsafahnya sentiasa menjadi pusat tumpuan dalam pembangunan sesebuah masyarakat Islam, justeru, binaan masjid itu sendiri sejak dulu mengambil kira lokasi yang strategik dalam bandar dan luar bandar yang mana akhirnya menjadi satu identiti kepada sebuah bandar Islam itu.

Demikian ujar Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dalam program perasmian Mosque Tour Week & Mosque Open Day 2017 di Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung selama empat hari iaitu dari 28 Mac hingga 31 Mac 2017.

WhatsApp Image 2017 03 30 at 12.33.39 PM

Katanya yang mewakili Naib Canselor, acara yang dianjurkan ini sangat signifikan dengan perkembangan semasa apatah lagi penganjuran kali ini yang bertemakan keusahawanan kerana tema ini dilihat masih kurang dibudayakan dalam masyarakat Islam hari ini walaupun ianya menunjukkan peningkatan, oleh sebab itu, pembangunan keusahawanan turut menjadi agenda penting dalam pendidikan tinggi pada hari ini.

“USM telah menggerakkan budaya keusahawanan yang ditetapkan dengan menubuhkan Pusat Keusahawanan, menyediakan pendidikan dan program keusahawanan yang terancang dan holistik, memantapkan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan, mewujudkan mekanisme pengukuran yang berkesan, menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi pembangunan keusahawanan dan mengukuhkan kompetensi tenaga pengajar keusahawanan,” kata Muhamad.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam USM, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya pula berkata, program ini merupakan salah satu program utama Pusat Islam yang dianjurkan setiap tahun dan akan diteruskan pada masa akan datang berdasarkan petunjuk yang positif yang diterima oleh pengunjung.

WhatsApp Image 2017 03 30 at 12.33.37 PM

WhatsApp Image 2017 03 30 at 12.33.34 PM

“Pada tahun ini, mendukung tema The Quranic Enterprise bagi memupuk nilai keusahawanan menurut kaca mata islam dan Al-Quran dan objektif utama ialah untuk mempromosikan konsep pelancongan masjid dan dapat melaksanakan amanah serta memperkasakan hubungan manusia dengan Allah SWT selain untuk menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan ummah yang unggul sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah,” katanya.

“Nilai keusahawanan bukan nilai yang asing dalam agama Islam kerana kebanyakan para rasul dan nabi adalah seorang usahawan, malah terdapat kalangan dari sahabat nabi yang bergelar ahli perniagaan yang menyumbang kekayaan mereka untuk memartabatkan Islam,” tambah Sofri.

Antara aktiviti yang diadakan adalah forum, demochef, persembahan busking, sketsa dari Dewan Budaya, Seminar Keusahawanan, derma darah, pemeriksaan mamogram, dan saringan kesihatan.

WhatsApp Image 2017 03 30 at 12.33.45 PM

Program ini adalah anjuran Pusat Islam USM dengan kerjasama Pusat Mahasiswa Islam (PMI) USM.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1200

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024