USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, CREST SEDIA PLATFORM PUPUK GENERASI MUDA MEMINATI BIDANG SAINS

untitledfbxgfb

BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 22 Mac 2017 - Pusat Kolaborasi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengadakan kem bagi wilayah utara iaitu ‘2017 Youth Industry Bootcamp’ bertempat di Sains@USM di sini baru-baru ini.

Seramai 108 peserta dari 17 buah sekolah telah mengikuti kem selama empat hari tiga malam serta menjalankan pelbagai aktiviti yang telah disediakan seperti sesi perkongsian bersama penyelidik muda dan pensyarah USM dalam bidang sains.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Projek Youth Industry Bootcamp merupakan salah satu daripada projek kerjasama yang bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap sains dan teknologi dan kejuruteraan.

“Ia menyediakan platform untuk mewujudkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta inisiatif dalam meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains,” katanya.

Tambah Asma lagi ketika perasmian penutup kem tersebut baru-baru ini, program ini memberi pendedahan kepada bakat muda pelajar untuk berfikir secara kritis dan inovatif serta memberi inspirasi kepada pembelajaran dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

"Program sebegini juga dilihat mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar dari aspek pembelajaran dalam persekitaran universiti melalui sesi perkongsian pensyarah-pensyarah USM bersama para pelajar," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim pula berkata, program ini mewujudkan kesedaran tentang peluang-peluang kerjaya yang sedia ada dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Ia juga menyerlahkan bakat-bakat muda di sekolah menengah di samping meningkatkan pengetahuan dan kemahiran inovasi mereka dalam STEM dengan hasrat agar mereka akan cenderung untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan kelak," tegas Jaffri.

Turut diadakan sesi perkongsian oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Penyelidikan CREST, Dr. Norazmi Alias dan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, MRSM Balik Pulau, Tuan Hj Ibrahim Sulaiman; Penolong Ketua Pengarah, Bahagian Pendidikan Menengah (MARA), Zunaidi, Penasihat Risiko, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Prof. Dr. Azlan Abd Aziz.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1230

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024