USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAKAL GURU TEROKAI ROCK MELON

 DSC4989

PULAU PINANG, 9 April 2015 – Berbekalkan minat dalam bidang pertanian telah mendorong seorang bakal guru yang juga pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Hafiz Ahmad untuk terus mengembangkan lagi projek Rock Melon yang dipelajarinya dengan membuka ladang sendiri.

Muhammad Hafiz, menjadikan projek anjuran bersama Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) USM dan Jabatan Pertanian dalam penanaman Rock Melon sebagai satu platform untuk dirinya melangkah lebih jauh dalam bidang ini.

"Perancangan saya pada masa hadapan adalah untuk membuka satu tapak yang sama saiz dengan projek yang dijalankan ini untuk diusahakan sendiri dengan modal dari keluarga sebanyak RM10,000. Tapak untuk menjalankan penanaman ini sudah disewakan oleh Jabatan Pertanian Relau," ujar Muhammad Hafiz.

Tambah Muhammad Hafiz, projek yang bakal dijalankan pada bulan hadapan ini merupakan satu langkah baharu sebelum dia mengorak langkah dengan lebih jauh lagi dalam bidang ini.

"Saya bercadang untuk menjalankan projek Rock Melon ini di Batu Pahat, Johor apabila tamat pengajian nanti memandangkan buah ini mendapat sambutan yang menggalakkan di negara Singapura. Ini adalah satu peluang untuk saya terus berjaya dalam bidang ini."

 DSC4990

Menurut seorang lagi peserta, Noramira Mohd Noh, minat untuk menceburi bidang pertanian mendorongnya untuk menyertai projek penanaman Rock Melon ini.

"Walaupun saya bukan pelajar dalam bidang ini, namun minat untuk mendalami ilmu pertanian khususnya penanaman Rock Melon ini mendorong saya untuk menyertai projek ini dan saya akan mengaplikasikannya apabila saya tamat pengajian saya nanti," tambah Noramira yang juga pelajar tahun tiga, PPIP.

“Projek yang bermula sejak tahun 2013 ini berjaya mengumpulkan lebih 50 orang peserta yang terdiri dari pelajar pelbagai pusat pengajian. Namun, kurang sepuluh orang pelajar yang betul-betul aktif dalam mengusahakan penanaman ini,” ujar Penyelaras Projek, Profesor Madya Jamel Ariffin.

 DSC4996

"Pusat Pengajian HBP bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Relau menganjurkan bengkel sehari untuk mengajar peserta ini tentang penanaman Rock Melon dan mereka diajar bermula dari penanaman sehinggalah cara pengurusan Rock Melon itu sendiri," katanya dalam satu temubual selepas majlis menuai buah Rock Melon yang disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Omar Osman di Pusat Pengajian HBP USM.

 DSC5003

"Kita memilih pokok yang mempunyai nilai hasil yang tinggi untuk menjalankan projek yang diilhamkan oleh Naib Canselor USM untuk menjadikan USM sebagai satu tempat pertanian dalam bandar," tambahnya lagi. Teks: Syuhada Abd Aziz / Foto: Zamani Abdul Rahim  

  • Created on .
  • Hits: 1310

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024