USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SAMBUT HARI WANITA SEDUNIA, RAIKAN PENCAPAIAN WANITANYA DI SEMUA PERINGKAT

assma 1

USM, PULAU PINANG, 18 Mac 2017 - Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini dengan memilih tema yang disarankan oleh hub global International Women’s Day (IWD) iaitu #BeBoldForChange (Berani Membawa Perubahan).

Menurut Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Hari Wanita Antarabangsa disambut di seluruh dunia pada setiap 8 Mac dan sepanjang bulan Mac setiap tahun, dan tahun ini merupakan tahun ke-107 ia diraikan secara formal.

“Di USM memang banyak perkara yang boleh kita raikan dari sudut pencapaian wanita terutamanya dari segi pendidikan dan kesihatan.  Ramai dalam kalangan ahli akademik dan pelajar wanita kita yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, sains sosial dan sastera.

DSC 6221

“Oleh kerana universiti awam mempunyai peranan utama menyediakan pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti mata pencarian yang lestari selepas mereka berjaya mendapatkan ijazah, pencapaian graduan wanita di tahap yang sedia ada memerlukan perhatian kita semua,” jelas Asma.

Tambahnya, memandangkan pencapaian graduan wanita di universiti adalah setara dengan graduan lelaki dan jika kelayakan dan kebolehan mereka tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya, negara akan mengalami kerugian besar dalam pembinaan bangsa daripada pelbagai aspek.

DSC 6227

assma 67

Sementara itu, Pengarah KANITA USM Profesor Madya Dr. Noraida Endut pula berkata, tema #BeBoldForChange yang dipilih oleh hub IWD pada tahun ini bertitik tolak daripada tema tahun lepas iaitu #PledgeForParity yang menggalakkan program kesaksamaan gender di semua peringkat, individu, kelompok tertentu dan masyarakat serta peranan kerajaan dalam mencapai matlamat tersebut.

“Selain daripada menekankan kesaksamaan gender, tema ini juga sebenarnya mengajar kita berusaha ke arah keadilan sosial dan sejagat. Wanita datang daripada pelbagai latarbelakang sosio-ekonomi, walaupun wanita mempunyai banyak pengalaman yang serupa, kehidupan wanita juga dipengaruhi oleh pertembungan garisan-garisan sosioekonomi dan sosiobudaya yang membingkaikan status mereka dalam masyarakat," kata Noraida.

“KANITA telah mengambil langkah menjemput “saudara dalam satu perjuangan, berlainan jantina” sebagai wakil saudara-saudara lelaki kita. Pengalaman lelaki dan wanita adalah serupa dalam konteks memperjuangkan kesaksamaan,” jelas Noraida lagi. 

DSC 6278

Noraida juga berharap agar sambutan hari ini bukan sahaja memberikan peluang berinteraksi dan menimba pengalaman daripada ahli panel, namun ia juga memberikan pengisian intelektual dan semangat untuk sama-sama terus berusaha ke arah kesaksamaan gender dan keadilan sosial.

Sambutan Hari Wanita peringkat USM ini turut mengadakan bual bicara melibatkan Pengarah CEMACS & APUCEN USM, Profesor Dr. Aileen Tan Shaw-Hwai; Pengarah Urusan iHS Markit, Vimaleswari Ramasamy; Motivator dan Jurulatih OKU, Abdul Rahman Rasil Khan dan Pengarah Pembelajaran dan Pendidikan, EduNation Malaysia, Sheryl Ann Fernandos.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1638

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024