USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DPNC PLATFORM PELAJAR USM ASAH BAKAT DAN IDEA BERNAS DALAM PENDEBATAN

IMG 2172

USM, PULAU PINANG, 20 Mac 2017 - Debat bukan sahaja melibatkan kemahiran berkomunikasi di antara pelajar, ia melibatkan pemikiran kritikal yang dapat menajamkan minda pelajar dalam sesuatu perkara itu.

Demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di pentas akhir Debat Piala Naib Canselor (DPNC) kelmarin yang turut menegaskan debat memerlukan seseorang yang berpengetahuan luas dalam sesuatu perkara untuk menjawab isu-isu semasa, dan bukan itu sahaja, pendebat juga perlulah mempertahankan sesuatu yang baik dan buruk.

“Selaras dengan tema tahun ini iaitu ‘Siswa Cakna Pemangkin Pembangunan Nasional’, para peserta berupaya mengembangkan idea mereka mengikut pendirian kumpulan masing-masing di samping dapat mencungkil bakat-bakat baharu dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih berani untuk berkomunikasi di khalayak ramai,” tambah Asma yang pernah menjadi peserta Debat Piala Perdana Menteri pada suatu ketika dahulu.

IMG 2173

“Keberanian untuk berkomunikasi merupakan salah satu ciri penting dalam pasaran pekerjaan bagi mengisi keperluaan negara maju dan hal ini sekaligus dapat membentuk generasi pemimpin yang unggul kerana pelajar sekarang merupakan pelapis yang bakal menerajui kepimpinan masa hadapan,” jelas Asma lagi.

Pentas akhir menyaksikan pendebat Desasiswa Murni dan Desasiswa Tekun bertanding dengan pelbagai hujah, pendapat dan bukti-bukti yang menyokong fakta yang diberikan.

IMG 2184

IMG 2182

Pasukan Desasiswa Murni dinobatkan Juara manakala Naib Juara ialah Desasiswa Tekun. Juara membawa pulang RM1,000 beserta Piala Naib Canselor manakala Naib Juara membawa pulang RM750.00.

DPNC sidang akademik 2016/2017 berlangsung selama tiga hari yang disertai oleh 10 buah pasukan dari ketiga-tiga kampus utama USM.

Menurut ketua hakim DPNC, Badrul Hisam Che Kasim, DPNC merupakan platform yang sangat berkualiti untuk mencari bakat-bakat baru dalam pasukan USM bagi mewakili universiti dalam pertandingan kelak.

“Kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan walaupun tajuk hari ini bersifat antarabangsa, namun mereka masih dapat membawa tajuk tersebut dengan baiknya.

Pendebat-pendebat DPNC kali ini masih boleh dilatih dan dipertingkatkan dari masa sekarang bagi melahirkan pendebat-pendebat yang baik serta boleh mewakili universiti,” jelas Badrul yang juga merupakan pendebat pada suatu ketika dahulu dan kini bertugas sebagai peguam, dan beliau merupakan wakil Majlis Debat Universiti (MADUM).

“USM seharusnya membawa pelajar yang mempunyai bakat dalam arena perdebatan ini ke peringkat universiti dan mereka sepatutnya diberikan latihan yang sewajarnya, hal ini kerana masih banyak permata yang boleh digilap lagi,” tegas Badrul.

IMG 2190

Sementara itu, Pengarah Projek, Nik Mohd Asrul Syaaban Mohd Kamil pula berkata, USM mempunyai bakat-bakat baru yang perlu digilap dan ternyata ramai yang berbakat dalam arena perdebatan yang boleh diasah lebih lagi bagi mewakili universiti tercinta.

“Pelajar perlulah bergerak seiring dengan transformasi Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahukan pelajar bergerak ke hadapan dalam menterjemahkan hasrat universiti bagi pembangunan masa hadapan,” ujar Asrul.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan (Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Tuan Hj. Mohd Saad Din, dan Ahli Majlis-Majlis Penggawa USM.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1398

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024