USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DIBERI PELUANG BERINOVASI

 DSC4949

PULAU PINANG, 9 April 2015 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk pelajar dan juga pensyarah diberi peluang sepenuhnya untuk berinovasi dan menampilkan pelbagai kreativiti samada di bidang pengajian dan juga di luar dewan kuliah.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman selepas menuai hasil penanaman Rock Melon melalui kaedah fertigasi yang dijalankan di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM di sini pagi ini.

“Dasar di peringkat nasional iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)- PPPM (PT) yang dilancarkan baru-baru ini adalah juga untuk melahirkan pelajar yang holistik serta dalam ekosistem inovasi penyelidikan,” tambah Omar.

“Pertanian di dalam bandar ini harus dimanfaatkan sepenuhnya serta menggunakan ruang lapang di rumah masing-masing untuk menghasilkan produk yang dapat membantu meningkatkan ekonomi,” tambah Naib Canselor.

“Saya boleh berbangga dengan pencapaian para pensyarah dan pelajar HBP namun bakat dalam bidang penyelidikan haruslah dikembangkan serta terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai industri,” kata Omar yang turut menyampaikan sijil penyertaan kursus penanaman Rock Melon anjuran Jabatan Pertanian Relau kepada peserta yang terdiri daripada pelajar pelbagai pusat pengajian di USM.

Menurut Dekan HBP, Profesor Madya Dr Aldrin Abdullah projek penanaman Rock Melon ini dapat dibanggakan kerana hasilnya yang memberangsangkan walaupun pernah mengalami masalah di awal penanaman.

“Idea penanaman Rock Melon ini bermula sekitar akhir tahun 2013 dan hasil pertama mengalami pelbagai masalah seperti serangan serangga, penggunaan baja yang kurang baik serta buah hanya bersaiz bola tenis, namun hasil tuaian yang kedua ini sangat baik dan manis,” ujar Aldrin dalam satu majlis ringkas.

Seramai 50 orang pelajar telah mengikuti kursus penanaman Rock Melon tersebut serta menyumbangkan tenaga dalam projek ini dengan bantuan koordinator yang juga pensyarah HBP iaitu Profesor Madya Jamel Ariffin dan Nor A’zam Shuib.     

Sebanyak 340 batang pokok Rock Melon ditanam dalam rumah hijau di HBP berkeluasan 1500 kaki persegi dan buah yang dihasilkan adalah lebih kurang 2.5 kilogram sebiji dengan harga pasaran RM8 sekilogram. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Zamani Abdul Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 1254

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024