KEUNIKAN BUDAYA REKA BENTUK SENI BINA WARISAN - AZIZI BAHAUDDIN

untitledrgeg

USM, PULAU PINANG, 20 Mac 2017 - Memahami budaya reka bentuk sesuatu seni bina warisan melalui kajian penceritaan telah dibincangkan dalam syarahan bertajuk ‘Naratif dan Protagonis dalam Rekabentuk Warisan Satu Budaya’ oleh pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) Profesor Dr. Azizi Bahauddin di Dewan Budaya baru-baru ini dalam Syarahan Pelantikan Profesornya.

Azizi yang juga merupakan Pengarah Creative Design House (CDH) USM berkata, empat seni bina bentuk warisan yang dikaji olehnya ialah reka bentuk bermotif songket, penceritaan dalam spa Melayu dan rumah bujang, seni bina rumah adat Minangkabau serta seni bina rumah panjang Rungus.

"Keempat-empat aspek ini dikaji untuk melihat bagaimana budaya dan pengalaman sesuatu masyarakat mempengaruhi reka bentuk seni warisan mereka serta makna di sebalik reka bentuk tersebut, misalnya reka bentuk bermotif songket menggambarkan bahawa budaya Melayu yang ada sekarang telah melalui proses asimilasi pelbagai kepercayaan agama.

"Motif-motif pada songket jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pernah menerima pengaruh animisme, Hindu, Buddha dan Islam melalui motif-motif songket yang digunakan.

Jelasnya, spa Melayu dan rumah bujang pula mempamerkan reka bentuk lestari dan mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar sebagai faktor dalam membina identiti dan karakter yang penuh sejarah dan budaya.

"Makna ukiran dan rekabentuk rumah bujang pula bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada penghuni seperti pembinaan rumah yang didirikan di atas tiang, atap nipah yang menggalakkan pengaliran udara dan cahaya semulajadi bertepatan dengan reka bentuk lestari manakala rumah adat Minangkabau pula memperlihatkan reka bentuk rumah berdasarkan pengaruh sistem martiarkal iaitu wanita diberi hak yang lebih dalam segala perkara seperti hak warisan.

"Dari segi atap rumah Minangkabau yang melentik, melalui penceritaan yang dilakukan, bumbung melentik adalah berdasarkan sejarah kaum Minangkabau yang memenangi perlawanan pertempuran kerbau menentang kerajaan Majapahit menyebabkan kerajaan Minangkabau menggunakan tanduk kerbau sebagai simbolik atap rumah masyarakat tersebut,” katanya lagi.

Tambahnya, kedudukan di dalam rumah juga turut mementingkan wanita apabila bilik belakang digunakan untuk menempatkan wanita bujang, kedudukan kiri dan kanan untuk wanita yang telah berkahwin dan bilik yang berdekatan dengan dapur akan diduduki oleh wanita yang lebih berumur manakala lelaki akan ditempatkan di hadapan rumah dan anak lelaki juga digalakkan untuk tidur di surau dan keluar merantau.

Jelasnya lagi, Rumah Panjang Rungus, Sabah pula menceritakan tentang suku kaum Rungus yang banyak berhubung dengan alam semulajadi.

"Bilik-bilik yang ada di rumah panjang akan dikhaskan kepada ibu dan anak perempuan manakala lelaki pula akan ditempatkan di koridor untuk memudahkan lelaki untuk meninjau musuh," kata Azizi.

Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor kali ini turut meraikan seorang lagi profesor iaitu Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah yang menyampaikan syarahan bertajuk ‘Adakah Rumah Anda Selamat’.

Yang turut hadir adalah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan dihadiri hampir 350 peserta termasuk dekan-dekan pusat pengajian, timbalan dekan, pegawai-pegawai utama USM, keluarga dan kenalan profesor, pensyarah-pensyarah serta pelajar-pelajar USM.

Teks: Rodiah M. Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015