USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SENTIASA BERPEGANG KEPADA INTEGRITI YANG TINGGI

17362354 395883034117774 5099140101604471010 n

USM, PULAU PINANG, 20 Mac 2017 - Dalam perkongsian pada pagi ini tentang Pengaruh Integriti dan Perundangan Dalam Tata Tertib, Penasihat Undang-undang Universiti Sains malaysia (USM) Dr. Khairul Anuar Che Azmi mengingatkan peserta tentang pelbagai kes integriti dan tata tertib yang berlaku saban hari.

"Bayangkan berapa banyak masa yang dibazirkan dan kerugian kepada organisasi apabila seseorang warganya tidak menggunakan masa bekerja dengan betul yang boleh dilihat dalam konteks kewangan apatah lagi integriti," kata beliau.

Beliau menegaskan tentang kesalahan yang dilakukan oleh seseorang yang mengambil mudah tentang waktu kerjanya, melakukan tugas peribadi waktu pejabat dan hal-hal yang boleh dibuat aduan oleh rakan sekerja mahu pun ketua jabatannya apatah lagi bila dlakukan berulangkali.

"Begitu juga dengan kesan yang akan ditanggung oleh seseorang yang menerima rasuah atau hadiah yang serba salah dalam membuat keputusan tender dan projek dan akhirnya menjerat dirinya dalam kesusahan," kata Khairul Anuar lagi.

Jelasnya lagi, terdapat banyak kes yang diadukan kepada pihak Perundangan namun siapa jua yang mengadu mestilah bertanggungjawab dan mempunyai fakta yang tepat.

"Pengadu juga mestilah berintegriti dalam aduannya kerana kita tidak mahu ada yang teraniaya apatah lagi apabila seseorang itu dipanggil untuk disiasat, dia akan menghadapi tekanan yang bukan sedikit," kata beliau.

Jelas beliau, seseorang yang berintegriti ialah mereka yang tidak mengambil kesempatan melakukan sesuatu kesalahan atau perlanggaran peraturan mahu pun undang-undang walau pun tatkala tidak ada sesiapa pun melihatnya.

"Kita melakukan sesuatu dengan ikhlas, melangkaui yang sepatutnya kerana percaya ada ganjaran yang lebih besar dari Tuhan, bukan hanya majikan apatah lagi sesama manusia," kata beliau lagi.

Sesi perkongsian tersebut dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan USM.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024