USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOR SUKSIS USM RAI AHMAD SHUKRI, UMUM KOMANDAN BAHARU TNC JIM

USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2017 - Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa merangkap Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Profesor Kehormat Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustafa Kamal diraikan dalam majlis gilang-gemilang di sini setelah sembilan tahun berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Menurut Yang DiPertua Persatuan SUKSIS, Muhamad Amirul Che Husin, pihak mereka mengadakan majlis makan malam “Jasamu Dikenang” untuk  meraikan sumbangan dan bakti yang telah ditaburkan Ahmad Shukri dalam Kor SUKSIS USM.

"Semua pihak sudah diberitahu bahawa beliau akan menamatkan perkhidmatannya  pada 15 Mac 2017 ini dan kami amat menghargai sumbangan serta bakti yang telah dicurahkan beliau dalam memajukan Kor SUKSIS USM.

"Sepanjang berkhidmat dengan USM, beliau tidak pernah lokek memberi semangat dan dorongan kepada pasukan Kor SUKSIS USM untuk maju ke hadapan," katanya.

Dalam majlis itu, Muhamad Amirul turut menyampaikan cenderahati kepada Ahmad Shukri dan posisi beliau sebagai Komandan bakal digantikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat iaitu Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS, Asisten Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ali turut melahirkan rasa kesedihan kerana Kor SUKSIS kehilangan seorang komandan yang sangat berwibawa dan komited dalam menjalankan tugas.

“Walaupun beliau sudah tamat perkhidmatan, tetapi kami masih memerlukan khidmat nasihatnya. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana usaha beliau dalam membentuk SUKSIS ke arah yang lebih cemerlang,” jelas Abdul Ghani.

Sementara itu, Ahmad Shukri pula berbangga dengan penubuhan Kor SUKSIS USM yang telah ditubuhkan sejak 1985 lagi dengan nama asalnya Palapes Polis, dan beliau berharap Kor SUKSIS USM akan menjadi kebanggaan kepada seluruh warga USM,” jelas Ahmad Shukri di dalam majlis pada malam itu.

Turut hadir adalah Ajutan Kor SUKSIS, Deputi Superintendan Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024