USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CTPED KURANGKAN RISIKO JENAYAH PECAH RUMAH – ALDRIN ABDULLAH

IMG 2010

USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2017 – Reka bentuk kediaman memainkan fungsi yang sangat penting dalam mengurangkan risiko jenayah pecah rumah dengan menekankan lima elemen dalam reka bentuk persekitaran atau Crime Prevention through Environmental Design (CTPED).

Menurut Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Aldrin Abdullah di dalam Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesornya baru-baru ini, lima elemen CTPED yang harus dititikberatkan adalah kawalan akses, pengawasan semula jadi, pengukuhan ruang kediaman, sokongan aktiviti dan pengurusan ruang.

“Hasil daripada penyelidikan selama 20 tahun, dari segi impak penjanaan ilmu, kami melaksanakan indikator pengukuran CPTED. Dari segi perindustrian, penghasilan sistem keselamatan daripada syarikat-syarikat yang berminat dan seterusnya menimbulkan kesedaran kepada masyarakat dalam memastikan risiko jenayah pecah rumah rendah dan reka bentuk kediaman mengikut aspek CPTED.

“Golongan yang berisiko tinggi menjadi mangsa pecah rumah ialah golongan yang lemah seperti golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga tua dan golongan wanita terutama wanita yang sedang hamil.

“Melalui kajian yang dilakukan, ketakutan terhadap jenayah ini berpunca daripada laporan daripada media dan pengalaman daripada keluarga serta kenalan yang pernah menjadi mangsa justeru hal ini menyebabkan berlakunya fobia, tidak berani untuk bersendirian, kemurungan, paranoid dan menjadikan kualiti kehidupan merosot,” katanya semasa menyampaikan syarahannya bertajuk ‘Adakah Rumah Anda Selamat? Peranan dan Impak Reka Bentuk’ di Dewan Budaya USM di hadapan lebih 300 orang.

Tambah beliau lagi, ciri-ciri penjenayah profesional dengan penjenayah amatur adalah berbeza. Penjenayah profesional bergerak secara bersendirian atau berkumpulan, mempunyai perancangan yang teliti dan kompleks, sasaran habuan yang tinggi nilainya, tidak bertindak secara oportunis, menggunakan peralatan yang canggih dan kemahiran kepakaran yang tinggi manakala penjenayah amatur adalah sebaliknya.

“Kes pecah rumah paling tinggi ialah berlaku pada waktu malam dan penjenayah memilih untuk memasuki rumah melalui pintu belakang bagi rumah yang berada atas tanah manakala rumah bertingkat seperti kondominium, penjenayah akan menggunakan pintu hadapan untuk masuk,” jelasnya lagi.

Siri Syarahan Umum Pelantikan Professor kali ini turut meraikan seorang lagi Professor iaitu Pengarah Pusat Senireka Kreatif (CDH) USM, Profesor Dr. Azizi Bahauddin yang menyampaikan syarahan beliau yang bertajuk Naratif dan Protagonis Dalam Reka Bentuk Warisan.Yang turut hadir adalah Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; pegawai-pegawai utama USM, keluarga dan kenalan mereka.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1369

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024