USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LEBIH RAMAI ALUMNI USM DISERU MENDAFTAR SEBAGAI AHLI - PENAUNG PAUSM

alumni

USM, PULAU PINANG, 18 Mac 2017 - Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) seharusnya terus berdiri kukuh dan menjadi lambang kemegahan sebuah institusi yang memegang moral dan integriti yang tinggi serta memberi aspirasi kepada setiap dari warganya.

Demikian tegas Pro Canselor merangkap penaung PAUSM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) kali ke-21 hari ini.

Katanya, ini adalah bagi meneruskan kesinambungan PAUSM dalam membantu Universiti ini mencapai hala tujunya yakni untuk mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok.

"Hari ini juga, kita dapat melihat alumni-alumni USM membawa nama institusi ini ke serata dunia, malah ada di antaranya telah menjadi begitu tersohor dengan pelbagai pencapaian yang cukup luar biasa dan USM kini mempunyai sejumlah 159,434 alumninya baik di dalam mahupun di luar negara.

alumni 689

"Sebagai salah seorang alumni USM, saya turut berkongsi rasa teruja dan berbangga dengan pencapaian para alumni kita yang saya fikirkan tidak akan lupa dengan keistimewaan dan pengalaman yang pernah Universiti ini berikan dalam mencorak kehidupan mereka.

“Sebuah institusi yang ‘hidup’ sebenarnya adalah institusi yang dapat memberi impak dan memberikan rasa kepunyaan yang tinggi dalam kalangan warganya," jelasnya.

Di kesempatan ini juga, Mustafa amat berharap agar warga alumni tidak pernah jemu untuk mencurah bakti dalam pelbagai cara untuk terus melestarikan dan membangunkan menara ilmu yang dicintai ini.

"PAUSM dapat membangunkan jaringan yang kuat untuk masa hadapan USM dan kerana itu, saya menyeru semua alumni USM menjadi ahli PAUSM dan berharap usaha dipertingkatkan bagi mendorong lebih ramai alumni yang mendaftar diri sebagai ahli," ujarnya lagi.

IMG 8419

Sementara itu, Naib Canselor USM yang juga Ahli Kehormat PAUSM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa ramai alumni USM yang telah menjadi 'towering personalities' dalam bidang masing-masing.

"Saya menyeru agar alumni terus bersama universiti, jangan merasa terpisah, we need to have a spirit of togetherness," katanya yang juga menyampaikan pembentangan tentang perkembangan terkini dan hala tuju USM.

alumni 472

Yang turut hadir adalah Presiden PAUSM 2015-2017, Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1195

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024