USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KE PENTAS ANTARABANGSA: KTP DAPAT SAMBUTAN, PINDAH ILMU KEPADA MASYARAKAT

IMG 20150409 WA0007

PULAU PINANG, 8 April 2015 - Program Pemindahan Ilmu (KTP) yang menjadi sebahagian dari Projek Agenda Kritikal (CAP) Kementerian Pendidikan Malaysia yang mula diperkenalkan pada 2010 akan diperluaskan ke persada antarabangsa bagi mengukuhkan peranan pendidikan tinggi dalam memindahkan kepakaran kepada rakan industri dan komuniti.

Pengerusi KTP, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pengantarabangsaan itu selaras dengan peranan KTP untuk menggalakkan penglibatan dan kerjasama erat antara pihak akademia-industri/komuniti,

Katanya, KTP akan memperkukuhkan sayap ke persada global bagi membolehkan perkongsian ilmu dalam konteks lebih luas dengan rakan strategik luar negara dan perkongsian amalan terbaik yang boleh diaplikasikan untuk menambah baik kualiti penyampaian.

“Kita berhasrat untuk mengadakan persidangan KTP dengan penyertaan rakan strategik dari Hong Kong, Australia, Taiwan dan sebagainya bagi berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam program pemindahan ilmu penghujung tahun ini.

“Usaha ini lebih menumpu kepada penghasilan output yang lebih hebat yang boleh mencetus kepada strategi terbaik yang boleh diaplikasikan contohnya kepada bidang perniagaan, mengembangkan peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya,’’ katanya.

Omar yang juga Naib Canselor USM berkata,  KTP adalah medium paling signifikan untuk menonjolkan kewujudan dan peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam memberi manfaat dan kehidupan lebih bermakna buat industri dan komuniti.

“Secara keseluruhan KTP menggabungjalin kerjasama universiti dengan industri dan komuniti melalui kepakaran pensyarah dan penghasilan siswazah pelatih yang boleh membantu memindahkan sama ada ilmu, proses atau pun teknologi kepada industri/komuniti.

“Pemindahan tersebut seharusnya boleh membantu industri khususnya yang berskala kecil dan sederhana serta komuniti memajukan bidang-bidang yang mereka ceburi termasuk dalam aktiviti perniagaan, ekonomi, pendidikan, teknologi hijau dan lain-lain,’’ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata KTP sedang dalam persediaan untuk memasuki Rancangan Malaysia ke-11 dan pihaknya sedang membuat penilaian terhadap 389 projek yang dikemukakan oleh ahli-ahli akademik dari semua universiti awam yang berpotensi untuk terus menjayakan matlamat KTP untuk tahun 2015.

Dari jumlah tersebut dijangkakan hanya 60 projek akan dipilih untuk dijalankan sama ada dengan industri mahu pun untuk komuniti.

Katanya, KTP diharap dapat menjadi sebahagian dari aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Pengajian Tinggi (PPPM-PT) iaitu dalam lonjakan untuk memangkin pembangunan ekonomi dan juga masyarakat.

“Pada akhirnya kita berharap untuk melihat keberkesanan atau objektif pemindahan ilmu dapat melengkapkan industri dan komuniti dengan perkara baru yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan menambah baik daya saing.

“Kerjasama di peringkat antarabangsa juga diharap dapat meningkatkan pencapaian dalam ekosistem inovasi, selaras dengan matlamat PPPM (PT) untuk manfaat ilmu dari universiti kepada industri dan komuniti,’’ katanya.

Dalam pada itu, kerangka KTP tersebut menangkis pendapat yang mengatakan universiti hanya sebagai menara gading. Hakikatnya universiti adalah menara ilmu yang berkongsi ilmu dan kepakarannya dengan masyarakat.

Sehingga tahun 2014 sebanyak RM54 juta telah digunakan untuk membiayai 349 projek meliputi 222  projek industri dan 127 projek komuniti manakala  sebanyak RM2 juta untuk program pemantauan. 

Sehingga kini juga projek-projek KTP telah berjaya memberi peluang kepada lebih 700 orang ahli akademik dan siswazah pelatih untuk mengambil bahagian dan menyesuaikan diri dengan keperluan industri dan komuniti secara langsung.

Untuk tahun 2015 peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM14 juta meliputi RM10 juta untuk skim geran KTP dan RM4 juta untuk pemantauan dan penyelidikan di samping RM 4.2 juta lebihan dari tahun lepas. - Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1368

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024